Nur Rozi Yanti Stabil Di ICU - Sukan | mStar

Nur Rozi Yanti Stabil Di ICU

Nur Rozi Yanti terjatuh dan dirempuh van pengiringnya ketika selesai menjalani latihan.

KUALA LUMPUR: Pelumba pelapis berbasikal lebuh raya negara, Nur Rozi Yanti Mat Rodzi yang terlibat dalam kemalangan pada Sabtu kini berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan.

Jurulatih pasukan pelapis kebangsaan, Suod Hussain berkata pelumba yang  berasal dari Perlis itu masih berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kajang.

"Saya dimaklumkan oleh ahli keluarganya bahawa beliau telah kembali sedar dan bercakap namun beliau dikomakan untuk sementara waktu bagi merehatkannya.

Doktor juga mengesahkan bahawa tiada berlaku pendarahan dalaman.

"Luka di bahagian mulutnya telah dijahit bagi menggelakkan jangkitan kuman," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pelumba berusia 17 tahun itu terlibat dalam kemalangan di Km 19, Lebuhraya SILK Kajang pada pukul 9.45 pagi semalam ketika menjalani latihan bersama pelumba lain.

Laporan awal polis sebelum ini menyebut Nur Rozi Yanti terjatuh daripada basikalnya ketika membetulkan kedudukan kakinya yang kebas sebelum dilanggar van pengiring yang mengekorinya. -- Bernama





Nur Rozi Yanti , Hospital Kajang

Artikel Berikut

Murray Mara Ke Suku Akhir Terbuka AS

Artikel Berkaitan

Keadaan Nur Rozi Bertambah Baik - Naim

Lebih Artikel