suria

Bekas Pemain Negara Kembali Beraksi Bantu Bekas Wartawan Sukan

Maninderjit Singh

KUALA LUMPUR: Sekumpulan bekas pemain hoki negara yang pernah mewakili Malaysia pada Piala Dunia, Sukan Olimpik dan Sukan Asia, bertemu semula sempena perlawanan persahabatan bagi mengumpul dana untuk membantu bekas wartawan sukan akhbar Malay Mail, Satwant Singh yang menghidap penyakit.

Perlawanan menentang pasukan bawah 14 tahun Kuala Lumpur di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu, menampilkan bekas pemain hebat negara seperti Mirnawan Nawawi, Maninderjit Singh, Brian Jayhan Siva, Arul Selvaraj dan beberapa lagi pemain.

Mereka turut disertai bekas jurulatih kebangsaan C. Paramalingam, yang bertindak sebagai jurulatih pasukan berkenaan pada perlawanan persahabatan itu.

Perlawanan yang berlangsung hampir sejam itu, berjaya mengumpul dana kira-kira RM27,500 untuk Satwant yang menghidap penyakit buah pinggang dan kencing manis. 

Bekas pengurus pasukan hoki Yayasan Negeri Sembilan itu juga pernah berkhidmat sebagai pegawai perhubungan awam Majlis Sukan Negara (MSN).

Selain perlawanan persahabatan, bekas pemain-pemain negara itu juga mengadakan klinik kejurulatihan kepada kanak-kanak.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan AbdulAziz memuji barisan bekas pemain negara dan lain-lain yang meluangkan masa bagi membantu rakan lama mereka itu. 

Dr Ramlan pernah menjadi doktor untuk pasukan kebangsaan.

"Ia satu peluang untuk bertemu rakan-rakan dalam suasana meriah sambil membantu mereka yang ditimpa kesusahan," katanya selepas acara berkenaan.

Satwant Singh, Hoki

Artikel Berikut

Artikel Lain