suria

Nur Dhabitah Layak Ke Sukan Olimpik 2016

Nur Dhabitan Sabri (tengah) meraikan kejayaan bersama ibu bapanya Fazidah Jaafar (kanan) dan Sabri Hashim selepas memenangi emas pada Acara 10 Meter Platform Wanita Akhir di Asian Diving Cup 2015 di Pusat Akuatik Bukit Jalil pada Sabtu.

KUALA LUMPUR: Penerjun muda negara, Nur Dhabitah Sabri berjaya menempah slot ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro, Brazil tahun depan, selepas meraih pingat emas acara 10m platform individu wanita pada KejohananTerjun Piala Asia 2015, Sabtu.  

Kehadiran dan sokongan daripada keluarga serta rakan-rakan di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil di sini, ternyata menyuntik semangat Nur Dhabitah menampilkan aksi cemerlang untuk mengumpul 383.10 mata keseluruhan.

Kejayaan penerjun berusia 16 tahun itu layak ke Sukan Olimpik menjadikan setakat ini, empat penerjun elit negara berjaya menempah tiket ke temasya sukan terbesar dunia itu di Rio.

"Setelah selesai terjunan tadi, saya ingat saya di tempat kedua tetapi apabila melihat papan markah, rupa-rupanya saya nombor satu. 

"Saya tidak sangka mampu atasi penerjun dari China, lagi pun sasaran saya dalam acara papan anjal dan bukan platform, untuk layak ke Rio," kata Nur Dhabitah kepada pemberita di sini.

Selain Nur Dhabitah, tiga lagi penerjun elit negara Pandelela Rinong, Ng Yan Yee dan Ooi Tze Liang sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016.

Dalam pada itu, Nur Dhabitah berharap beliau mampu mengulangi pencapaian cemerlangnya , dalam acara 3m papan anjal, esok. 

"Bimbingan dan dorongan daripada jurulatih, Yang Zhuliang yang tidak memberi tekanan membolehkan saya beraksi dengan baik," katanya yang tekad membuat persediaan rapi ke Sukan Olimpik 2016.

Pingat perak acara itu dimenangi penerjun China, Miya Sou yang mengutip 380.10 mata, manakala pingat gangsa menjadi milik seorang lagi penerjun negara, Loh Zhiayi (346.10).

Sementara itu, pada hari kedua kejohanan itu, Malaysia meraih satu pingat emas dalam acara 10m platform individu wanita, dua perak (3m papan anjal seirama wanita dan 3m platform campuran seirama) serta satu pingat gangsa dalamacara 10m platform individu wanita.

Nur Dhabitah, Sukan Olimpik 2016

Artikel Sebelum

Artikel Lain