suria

Sanchez Bawa Arsenal Ke Final Piala FA

LONDON: Alexis Sanchez membawa Arsenal ke final Piala FA selepas menjaringkan gol pada masa tambahan ketika menentang Reading di Wembley, Sabtu.

Pemain Chile itu menjadi penentu keputusan apabila menjaringkan gol pada minit ke-105 yang juga berpunca daripada kesilapan penjaga gol Reading, Adam Federici.

Gol tersebut mematikan semangat juang pasukan Reading yang berkerja keras untuk menyamakan kedudukan dan melanjutkan perlawanan tersebut ke masa tambahan.

Garath McCleary menjaringkan gol penyamaan bagi pasukan Reading pada minit ke-54 yang ditentukan oleh teknologi garisan gol apabila penjaga gol Arsenal, Wojciech Szczesny tidak mampu menahan sepakan deras di bahagian bawah.

Berikutan itu, Arsenal akan menentang Liverpool atau Aston Villa untuk memenangi Piala FA ke-12 pada perlawanan akhir yang akan berlangsung 30 Mei ini.

Ini merupakan satu lagi perlawanan separuh akhir yang sukar buat Arsenal selepas mereka terpaksa mengharungi penentuan sepakan penalti pada musim lalu ketika menentang Wigan sebelum membenam Hull pada perlawanan akhir.

"Reading mempunyai semangat yang tinggi dan bermain bermati-matian untuk ke final jadi kami perlu mengucapkan tahniah atas usaha yang ditunjukkan," kata Wenger.

'The Gunners' merupakan pasukan pilihan dan mendominasi dari awal permainan tetapi anak buah Wenger menghadapi kesukaran untuk membolosi gawang gol Reading.

"Apa yang tiada adalah kombinasi kelajuan dan ketajaman pemain untuk menjaringkan gol tetapi secara keseluruhannya saya percaya pemain menunjukkan semangat dan kosentrasi yang tinggi," kata Wenger lagi.

Arsenal membuka tirai jaringan pada minit ke-40 apabila Ozil membuat hantaran cantik kepada Sanchez yang melepaskan rembatan rendah melepasi Federici.

Skuad bimbingan Wenger dihukum pada separuh masa kedua apabila McCleary berjaya menjaringkan gol penyamaan apabila menerima hantaran daripada Pavel Pogrebnyak.

Rembatan McCleary terkena permain pertahanan, Kieran Gibbs sebelum melepasi Szczesny yang tidak mampu untuk menahan bola daripada melepasi garisan gol.

Sanchez berjaya menjaringkan gol pada masa tambahan, melepaskan rembatan lemah yang sepatutnya mudah diselamatkan oleh Federici tetapi melepasi kakinya.

"Sanchez kelihatan seperti menghadapi kesusahan pada awal permainan tetapi dia menunjukkan daya ketahanan yang tinggi dan potensi itu membolehkan dia untuk membuat sesuatu untuk menjaringkan gol," kata pengurus kelahiran Perancis itu.

Pengurus Reading, Steve Clark berkata dia tidak boleh meminta lebih daripada pasukannya.

"Mereka memberikan persembahan yang baik dan pemain-pemain telah memberikan segalanya tetapi kadangkala kita tidak mendapatkan keputusan yang diingini walaupun telah bermain dengan baik," kata Clark.

Arsenal, Reading

Artikel Lain