suria

Terengganu Bangkit Sebelum Mara Ke Suku Akhir Piala FA

Sebahagian daripada pemain pasukan Terengganu meraikan kejayaan melangkah ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan SElangor, malam Rabu. -foto THE STAR/Faihan Ghani
SHAH ALAM: Terengganu melangkah ke suku akhir Piala FA selepas menyingkirkan Selangor 3-1 pada perlawanan pusingan ketiga di Stadium Shah Alam, di sini, malam Rabu.

Skuad 'Penyu', kendalian Abdul Rahman Ibrahim, terpaksa menunggu sehingga ke saat akhir perlawanan untuk menyamakan kedudukan 1-1 sebelum mengheret saingan ke masa tambahan.

Selangor, bagaimanapun, memulakan aksi dengan agresif apabila melancarkan serangan bertali arus ke kubu Terengganu sebaik sahaja pengadil Muhammad Zamzaidi Katimin meniupkan wisel permulaan.

Usaha mereka membuahkan hasil apabila penyerang import dari Brazil, Guilherme De Paula membuka tirai jaringan pada minit ke-21 selepas menanduk masuk sepakan percuma daripada rakan sepasukan, sekali gus menceriakan hampir 13,000 penyokong mereka.

Gol tersebut membuka selera Selangor untuk memburu jaringan kedua namun digagalkan oleh ketumpulan jentera serangan dan keputusan itu kekal sehingga babak pertama perlawanan.

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah terus menggandakan asakan namun Terengganu berjaya mengimbangi saingan dengan membalas serangan.

Pemain import dari Cameroon, Vincent Bikana akhirnya membawa keceriaan kepada hampir 2,000 penyokong Terengganu di stadium dengan gol penyamaan pada minit ke-90.

Dalam masa tambahan 30 minit, pertahanan Selangor, Robert Cornthwaite 'menghadiahkan' gol kedua untuk Terengganu selepas tertanduk bola masuk ke gawang sendiri pada minit ke-104 sebelum Zairo Anuar Zailani mengesahkan kemenangan selesa Terengganu dengan gol ketiga pada minit ke-121.

Kemenangan tersebut menyaksikan skuad Pantai Timur itu membuat bakal membuat perhitungan dengan Perak pada suku akhir awal bulan depan yang menggunakan format timbal balik.

Pada Selasa, Perak turut menempah slot suku akhir dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas 'adik' kepada Terengganu, T-Team di Stadium Perak, Ipoh.


Barisan Pemain:

Selangor: Mohd Syamim Othman, Robert Cornthwaite, Leandro Dos Santos, Mohd Nazmi Faiz Mansor (S. Veenod), Ahmad Hazwan Bakri, Guilherme De Paula, Mohd Raimi Mohd Nor, Mohd Rezal Fahmi Rosid (kapten), Mohd Afiq Azmi (Abdul Hadi Yahya), Muhd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, K. Gurusamy (Mohd Fitri Shazwan Raduwan).

Terengganu: Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Vincent Bikana, Gustavo Fabian Lopez, Hasmizan Kamarodin, Mohd Zubir Mohd Azmi, Ahmad Nordin Alias, Muhd Sharin Sapien (Muhd Hafizal Mohamad), Abdul Manaf Mamat (Mohd Fakhrurazi Musa), Ismail Faruqi Asha'ri (Mohd Ashaari Shamsuddin), Zairo Anuar Zailani, Paulo Rangel.

Piala FA, Abdul Rahman Ibrahim

Artikel Lain