suria

Silap Strategi Musnah Harapan Skuad Berbasikal Raih Emas

Atlet lumba basikal paralimpik negara, Mohd Khairul Hazwan Wahab yang dipandu Mohd Razif Mohd Salleh (depan) ketika acara Mixed B Road Race di Songdo International City di Incheon, Jumaat. Mohd Khairul sekadar memungut pingat gangsa acara tersebut. -fotoBERNAMA
INCHEON: Kesilapan strategi memusnahkan peluang skuad berbasikal lebuh raya Malaysia dalam merebut pingat emas acara perlumbaan 97.2km Lelaki dan Wanita B di Songdo Road Cycling, di sini, Jumaat.

Kesilapan itu menyebabkan gandingan Mohd Khairul Hazwan Wahab dan Mohd Razif Mohd Salleh sekadar meraih pingat gangsa dengan catatan masa dua jam, 24 minit dan 12 saat (2:24:12s).

Ketua jurulatih berbasikal, Mohd Johari Nayan berkata anak didiknya melakukan kesilapan besar bila memberi peluang kepada pelumba tuan rumah mendahului pada pusingan ketiga.

"Kita sudah berbincang mengenai taktik terbaik sebelum perlumbaan bermula dan kalau ikut perancangan awal, mereka perlu mengekor rapat atlet lawan. Tidak boleh biarkan ada jurang yang terlalu jauh.

"Perlumbaan ini tidak banyak penyertaan, jadi memang tidak boleh berada jauh daripada pihak lain. Kalau tidak mereka akan meloloskan diri dengan mudah," katanya kepada pemberita di sini selepas perlumbaan.

Pelumba tuan rumah, Kim Jong Gui dan Chun Dae-Hong meraih pingat emas apabila mencatat masa 2:18:35s diikuti pingat perak diraih oleh pelumba Jepun, Tatsuyuki Oshiro dan Koji Miyakoshi 2:24:12s.

Kemenangan pingat gangsa Malaysia ditentukan melalui foto penamat apabila mencatat masa yang sama iaitu 2:24:12s dengan Jepun.

Sasaran awal skuad lebuh raya adalah meraih pingat emas dalam acara tersebut.

Mohd Johari berkata alasan laluan berangin dan tidak mendapat rentak sehingga pusingan ketiga, tidak boleh diterima.

Bagaimanapun, Mohd Johari berkata secara keseluruhannya skuad berbasikal mempamerkan prestasi yang lebih bagus berbanding temasya sama di Guangzhou, empat tahun lepas.
Mohd Johari Nayan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain