suria

Lewis Hamilton, Nico Rosberg Dan 700 Staf F1 Mercedes Terima Bonus RM50,000 Seorang

> Pasukan Mercedes-Petronas merangkul kejuaraan pasukan bagi musim 2014

> Kejayaan itu dicatat selepas Lewis Hamilton, Nico Rosberg menang di GP Rusia

> Mereka dan 700 staf F1 pasukan itu akan menerima bonus sehingga £10,000 (RM50,000) seorang

> Ini adalah kemenangan Mercedes yang pertama

KEJAYAAN pasukan Formula 1 Mercedes-Petronas merangkul kejuaraan dunia bagi musim ini selepas GP Rusia Ahad lalu membawa durian runtuh kepada semua kakitangan apabila mereka dijangka menerima habuan bonus sehingga £10,000 (RM50,000) seorang.

Ini termasuklah tukang cuci dan lain-lain kakitangan sokongan.

Portal berita Britain, Mail Online dalam laporan eksklusif mereka pada Selasa menyebut, sehingga 700 orang kakitangan akan menerima bonus itu nanti.

Ini adalah kejayaan pasukan Mercedes yang pertama dalam sejarah F1 dan mereka melakukannya dengan penuh bergaya musim ini dengan memenangi sembilan perlumbaan tempat satu dan kedua.

Hanya pasukan McLaren pada 1988 sahaja yang menyandang rekod terbanyak iaitu memenangi 13 daripada 16 perlumbaan dalam satu kalendar.

Pesaing terdekat Mercedes, Red Bull, yang turut memberi bonus sehingga £10,000 kepada setiap kakitangan ketika memenangi kejuaraan pasukan sebelum ini, berada jauh di belakang Mercedes walaupun masih ada baki tiga perlumbaan lagi bagi musim ini.

Selepas 16 perlumbaan, Mercedes berjaya mengumpul 565 mata manakala Red Bull hanya 342 mata.

Hadiah kemenangan sebagai juara pasukan dunia bernilai £40 juta (RM200 juta).

Pengarah Mercedes Motorsport, Toto Wolff dan Pengerusi Niki Lauda dilaporkan memberi taklimat kepada seluruh anggota pasukan itu di Ibu Pejabat pasukan di Brackley, England pada Isnin ketika mereka meraikan kemenangan satu-dua Hamilton dan Rosberg dalam GP Rusia yang berlangsung Ahad lalu.

Kemenangan Mercedes, menurut Mail Online  adalah contoh unik kerjasama teknologi Inggeris-Jerman di mana Mercedes menyediakan enjin manakala jurutera Inggeris menyediakan rekabentuk kereta dan lain-lain keperluan teknologi.

Pasukan ini dibentuk oleh Ross Brawn yang pada 2009 mengejutkan semua pasukan dengan memenangi juara dunia F1 atas jenamanya sendiri iaitu Brawn GP sebelum pasukannya itu dibeli oleh Mercedes-Petronas setahun kemudian.

Brawn bagaimanapun meninggalkan pasukan Mercedes selepas berlakunya pergelutan kuasa hujung musim lalu.

Walaupun Brawn meninggalkan pasukan Mercedes dengan perasaan luka yang mendalam tetapi Wolff tetap memuji apa yang telah dirintis oleh jurutera tersebut sehingga membawa kejayaan besar kepada mereka.

"Saya berasa bangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini tetapi tapak asas pasukan ini dibina oleh Ross Brawn dan dia telah memainkan peranan utama yang membawa kita semua ke tahap ini," kata Wolff dalam ucapannya di hadapan semua staf pasukan tersebut.

Ironinya, Wolff adalah orang yang bertanggungjawab memaksa Brawn menarik diri dari pasukan Mercedes.

Namun menurut Wolff, dia telah mengirim sms kepada Brawn menjemput bekas ketua pasukan Mercedes itu ke majlis meraikan sambutan Krismas pasukan tersebut hujung tahun ini.


Artikel Lain