suria

Terbuka AS: Nicol, Wee Mara Ke Pusingan Kedua

Nicol David
KUALA LUMPUR: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David dan pemain nombor dua negara, Low Wee Wern berjaya mara ke pusingan kedua Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat di Philadelphia, Sabtu.

Nicol, yang memburu gelaran ketiga berturut-turut pada kejohanan itu, hanya mengambil masa 32 minit untuk mengatasi pemain Mexico daripada pusingan kelayakan, Samantha Teran dengan 11-6, 11-5 dan 11-4.

"Ia tidak pernah mudah menentang rakan pelatih dan rakan (Samantha). Saya akan berdepan dengan pemain Australia Rachael Grinham, Isnin ini," kata Nicol dalam kiriman di laman Facebooknya.

Rachael pula menempah slot pusingan kedua selepas mengalahkan juara remaja dunia, Habiba Mohamed dari Mesir dengan 11-3, 11-9, 3-11 dan 11-7.

Dalam pada itu, Wee Wern, selaku pemain pilihan keenam, terpaksa berhempas pulas sebelum menjinakkan pemain Hong Kong, Joey Chan dengan 11-5, 14-12, 7-11 dan 11-6.

Wee Wern akan menentang pemain Guyana, Nicolette Fernandes, pada pusingan kedua selepas Nicolette menyingkirkan pemain Ireland, Aisling Blake, 11-5, 12-10 dan 11-5 pada pusingan pertama.

Artikel Berikut

Lewis Hamilton Juara GP Rusia

Artikel Lain