suria

Tenis Terbuka Malaysia: Tiga Pemain Negara Dapat Tiket Wild Card

Syed Mohd Agil Syed Naguib.
KUALA LUMPUR: Tiga pemain tenis negara mendapat tiket wild card pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia 2014 yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini pada 20 September ini.

Syed Mohd Agil Syed Naguib, Mohd Assri Merzuki dan Mohd Ashaari Zainal Abidin, ketiga-tiganya telah diberi lampu hijau untuk bertanding dalam acara kelayakan perseorangan.

Kejohanan ATP 250 selama sembilan hari itu menawarkan hadiah lebih US$1 juta.

"Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) gembira pemain tempatan kita sekali lagi berpeluang menguji kebolehan mereka menentang pemain terbaik dunia pada peringkat ATP 250," kata Presiden LTAM Tan Sri Abdul Razak Latiff dalam kenyataan pada Selasa.

Syed Mohd Agil juga mendapat penghormatan istimewa berpasangan dengan Nick Kyrgios dalam beregu undian utama sebagai pasangan wild card pada kejohanan yang dianjurkan oleh IMG Overseas (Malaysia) Sdn Bhd.

"Saya yakin Syed Agil berasa teruja dan berbangga untuk bergandingan dengan Nick Kyrgios (pemain ranking ke-60 dunia) dalam beregu undian utama," kata beliau.

Ketiga-tiga pemain berentap pada Terbuka Malaysia tahun lepas dengan Mohd Ashaari membuat kejutan pada pusingan pertama kelayakan apabila kali pertama pemain Malaysia menewaskan pemain asing pada kejohanan itu.

Selain Kyrgios, yang layak ke suku akhir Wimbledon, empat orang lagi pemain yang berada dalam kelompok 10 pemain teratas tahun ini juga akan beraksi dalam Terbuka Malaysia.

Mereka ialah pilihan ketujuh dunia Milos Raonic, Juan Martin Del Potro (pilihan ke-11), Kei Nishikori (pilihan ke-12) dan Ernests Gulbis (pilihan ke-13). 

Tiket bagi kejohanan itu boleh diperoleh melalui laman web rasmi kejohanan. 

Masuk secara percuma ialah antara Sabtu (20 Sept) dan Selasa (23 Sept).


tenis terbuka Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain