suria

Xabi Alonso Bersara Dari Skuad Kebangsaan, Sertai Bayern Munich Pada Harga £5 Juta

Xabi Alonso mengumumkan persaraannya dari skuad kebangsaan Sepanyol.

PEMAIN Real Madrid, Xabi Alonso pada Rabu bukan sahaja mengumumkan persaraannya dari pentas antarabangsa malah disebut-sebut akan meninggalkan kelabnya untuk menyertai Bayern Munich pada harga £5 juta.

Jika ini berlaku, Real nampaknya akan berpisah dengan seorang lagi pemain ternama dan berpengaruh selepas mereka melepaskan Angel Di Maria kepada Manchester United pada harga rekod perpindahan British, iaitu sebanyak £59.7 juta.

Hanya beberapa hari yang lalu, Xabi mengirimkan sms kepada Di Maria mengucapkan selamat maju jaya dan semoga sukses bersama Manchester United.

Tidak disangka sama sekali yang dia juga akan berada dalam situasi sepertimana Di Maria.

Dan keputusannya untuk menyertai Munich adalah sesuatu yang mengejutkan kerana kelab itu adalah dibawah bimbingan Pep Guardiola – yang suatu ketika dahulu membimbing Barcelona iaitu musuh tradisi Real.

Ramai juga yang menyangkakan Real Madrid akan menjual Sami Khedira dengan segera setelah pemain itu tidak mahu menandatangani kontrak baru yang hanya tinggal berbaki setahun sahaja lagi tetapi tuntutan gajinya yang tinggi telah membuatkan kelab seperti Arsenal tidak berani menawarkan harga.

Alonso yang akan mencecah usia 33 tahun November ini dibeli dari Liverpool empat tahun yang lalu.

Menurut akhbar Britain, The Daily Mail, perpindahan Alonso akan dimeterai selewat-lewatnya awal Jumaat (waktu Malaysia) dengan tawaran kontrak selama dua tahun dan bayaran gaji sebanyak £150,000 seminggu.

Alonso bermain sebanyak 114 kali untuk pasukan kebangsaan Sepanyol dan sembilan kali untuk skuad Bawah-21 Tahun. Dia memulakan karier antarabangsanya pada April 2003 dalam perlawanan menentang Ecuador. Bersama Sepanyol dia telah memenangi Kejohanan Eropah 2008, 2012 dan Piala Dunia pada 2010.

Karier kelabnya pula bermula bersama Real Sociedad. Selepas dipinjamkan kepada kelab kerdil, SD Eibar, dia kembali ke Sociedad di bawah kendalian pengurus berbangsa Wales, John Toshack yang melantiknya sebagai kapten.

Alonso mengemudi Real Sociedad muncul naib juara La Liga pada musim 2002–03. 

Pada musim berikutnya, dia berpindah ke Liverpool pada harga perpindahan £10.5. Liverpool adalah pasukan yang pernah disertai oleh pengurusnya John Toshack suatu ketika dahulu.

Bersama Liverpool, Alonso memenangi Piala Eropah. Dia bertanggungjawab menjaringkan satu gol dalam perlawanan akhir.

Tahun berikutnya dia memenangi Piala FA dan Piala Komuniti. 

Alonso berpindah ke Real Madrid pada permulaan musim 2009–10 dengan harga perpindahan £30 juta.


Artikel Lain