Pada saingan pusingan kedua, tiada seorang pun wakil negara yang berjaya melangkah ke pusingan berikutnya selepas kalah kepada lawan masing-masing.
Beregu Lee Meng Yean dan Lim Yin Loo memulakan hari malang skuad negara selepas kalah 7-21, 15-21 kepada pilihan kelapan yang merupakan pasangan kembar, Luo Ying dan Luo Yu dari China.
Langkah longlai skuad wanita berterusan selepas perseorangan utama negara, Tee Jing Yi tewas 18-21, 21-16 dan 10-21 kepada pilihan kesembilan, Carolina Marin dari Sepanyol.
Pasangan adik beradik, Ng Hui Ern dan Ng Hui Lin pula nyata bukan tandingan bagi pilihan ke-14 dari Belanda, Eefje Muskens dan Selena Piek selepas kecundang 17-21 dan 20-22.
Dua lagi beregu wanita negara Amelia Alicia Anscelly dan Soong Fie Cho serta Vivian Hoo Kah Mun dan Woon Khe Wei turut tersungkur kepada lawan masing-masing.
Amelia dan Soong tewas mudah 14-21 dan 16-21 kepada pilihan keempat yang juga beregu kelapan dunia, Yu Yang dan Wang Xiaoli dari China manakala Vivian dan Hoo memberikan saingan sengit sebelum kalah kepada pilihan ke-15, yang juga pemain tuan rumah, Line Damkjaer Kruse dan Marie Roepke dengan 16-21, 21-11 dan 10-21.
Harapan Malaysia pada kejohanan ini kini disandarkan kepada jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei serta Hoon Thien How/Tan Wee Kiong dan Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong dalam acara beregu lelaki.


