suria

Kejohanan Badminton Dunia: 30 Minit Untuk Chong Wei Mara Pusingan Ketiga

Datuk Lee Chong WEi
COPENHAGEN: Datuk Lee Chong Wei memperagakan aksi pemanas badan untuk melangkah ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia BWF 2014 di sini, Rabu.

Pemain nombor satu dunia itu hanya mengambil masa 30 minit untuk menyingkirkan pemain bukan pilihan berusia 26 tahun, Dieter Domke, dari Jerman dengan keputusan 21-12 dan 21-9.

Chong Wei, yang memburu gelaran sulung pada kejohanan dunia, akan menentang pemain Ireland, Scott Evans, pada pusingan ketiga Khamis.

Evans, pemain nombor 49 dunia, menempah tiket ke pusingan ketiga selepas mengalahkan pemain Austria, David Obernosterer, 21-7 dan 21-18.

Chong Wei dijangka tidak menghadapi masalah untuk melangkah ke suku akhir dan dijangka akan berdepan dengan pilihan keenam, Zhengming Wang dari China.

Zhengming turut melepasi pusingan kedua dengan mengetepikan pemain Czech, Petr Koukai, 21-15, 19-21, 21-7 untuk berdepan dengan pemain Hong Hong, Nan Wei.

Selepas saingan pada Rabu, Chong Wei berkata beliau tidak memandang rendah lawannya yang mempunyai ranking lebih rendah dan sebalik menganggap kesemua pencabarnya mampu memberi tentangan sengit pada kejohanan ini.

"Bagi saya, semua lawan adalah kuat macam pemain Korea Selatan (Lee Dong Keun) pada pusingan pertama. Orang cakap saya boleh menang ke atas pemain lain, namun saya anggap mereka mampu berikan cabaran," katanya.

Selepas tidak beraksi selama dua bulan ekoran kecederaan pangkal paha, Chong Wei berkata beliau mahu mendapat semula rentak permainan dengan cepat.

Mengenai pertemuan dengan Evans, katanya, beliau tidak memandang rendah kemampuan pemain itu walaupun menang kesemua tiga pertemuan sebelum ini.

"Persembahan saya juga belum mencapai tahap terbaik seperti yang ditunjukkan sebelum ini...Mahu angkat bulu tangkis pun agak takut dan saya harap lebih berani pada aksi selepas ini," kata anak jati Pulau Pinang itu.

Artikel Sebelum

Keputusan Tenis Terbuka AS

Artikel Lain