suria

Kejohanan Dunia: Rashid Yakin Wei Feng Kembali Temui Rentak

Chong Wei Feng

COPENHAGEN: Ketua jurulatih perseorangan badminton negara, Rashid Sidek yakin Chong Wei Feng bakal menemui semula rentak permainannya pada Kejohanan Badminton Dunia BWF 2014 yang bermula di Ballerup Super Arena, pada Isnin.

Beliau berkata pemain perseorangan lelaki kedua negara itu sudah menyedari kesilapan dilakukannya ketika tewas mengejut kepada wakil India, R.M.VGurusaidutt pada saingan suku akhir temasya Sukan Komanwel 2014 di Scotland, baru-baru ini.

"Saya harapkan beliau dapat berikan persembahan terbaik...buat masa ini,saya berpuas hati dengan keadaan (prestasi) semasa beliau...beliau banyak berlatih bersama (jaguh perseorangan lelaki negara) Datuk Lee Chong Wei yang turut memberikan galakan dan motivasi.

"Nampaknya keyakinan Wei Feng semakin bertambah menjelang kejohanan kali ini," katanya kepada pemberita..

Rashid menegaskan walaupun banyak pihak yang meletakkan sasaran kepada Chong Wei untuk muncul juara, beliau yakin Wei Feng mempunyai keazaman yang sama untuk mempamerkan persembahan terbaik pada edisi ke-21 kejohanan.

Wei Feng bakal turun pada aksi pusingan pertama berdepan pemain England, Rajiv Ouseph pada Selasa.

Dalam pada itu, Rashid menjelaskan beliau sudah melupakan segala pergeseran yang berlaku sebelum ini antara beliau dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff berikutan persembahan hambar perseorangan ketiga negara, Liew Daren pada Sukan Komanwel.

Beliau sebaliknya fokus dalam membantu skuad badminton negara meraih kejayaan walaupun sedar ia bukanlah satu tugas yang mudah.

"Niat saya adalah bantu pasukan raih kemenangan pada kejohanan ini dan saya akan cuba sebaik mungkin beri motivasi dan galakan bagaimana mahu hadapi lawan masing-masing," kata Rashid.

Artikel Lain