suria

JAWS III: Suarez Digantung 9 Perlawanan, 4 Bulan Dari Semua Aktiviti Bola Sepak

PERSATUAN Bola Sepak Dunia (Fifa) mengumumkan Luis Suarez dijatuhkan hukuman gantung sembilan perlawanan selepas didapati bersalah menggigit bahu pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini.

Selain itu, Suarez juga tidak dibenarkan melibatkan diri dalam sebarang aktiviti bola sepak selama empat bulan.

Ini bermakna, Suarez tidak dapat beraksi bersama Uruguay dalam aksi pusingan kedua Piala Dunia bertemu Colombia serta lapan baki perlawanan lagi.

Lebih malang, Suarez bakal terlepas sembilan perlawanan bersama kelabnya,  Liverpool termasuk kunjungan ke Manchester City pada 23 Ogos.

Suarez dijangka akan kembali ke padang pada 1 November bertemu Newcastle United.

Hukuman ini berkuat kuasa serta merta.

Di samping itu Fifa juga turut melarang Suárez memasuki mana-mana stadium sepanjang tempoh pengantungannya itu. 

Pemain itu juga dilarang memasuki stadium dengan tujuan untuk menyaksikan perlawanan yang melibatkan pasukan kebangsaan Uruguay pada semua peringkat.

Fifa menjelaskan yang keputusan muktamad untuk mengantung pemain itu telah dimaklumkan kepada Persatuan Bolasepak Uruguay pada lewat Khamis.

"Kelakuan di atas padang yang dipamerkan oleh pemain itu tidak boleh diterima apatah lagi di pentas Piala Dunia yang sedang berlangsung sekarang yang mana berjuta mata menyaksikan perlawanan yang disertainya.

"Jawatankuasa Disiplin Fifa telah mengambil kita semua faktor yang melibatkan kes Suarez ini dan bentuk kesalahan yang telah dilakukannya dan telah membuat keputusan yang tindakannya itu adalah satu kesalahan berat di bawah peraturan-peraturan yang terdapat di dalam perlembagaan Fifa. 

"Maka itu keputusan untuk mengantung penglibatan Suarez dalam semua aktiviti bola sepak selama empat bulan akan berkuatkuasa serta merta," tegas Claudio Sulser, pengerusi jawatankuasa berkenaan.

Selain itu juga, Suarez turut didenda pound sterling 66,000 (RM361,339) malah dilarang bersama-sama kelabnya menjalani latihan sepanjang tempoh penggantungan.

Artikel Lain