suria

Sukma 2014: Rekod 18 Tahun Acara 200m Kuak Lentang Berjaya Dipadam

Tern Jian Han ketika beraksi pada pusingan akhir, Ahad.
KANGAR: Perenang kebangsaan Tern Jian Han berjaya memadamkan rekod kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) berusia 18 tahun dalam acara 200m kuak lentang pada edisi ke-17 temasya itu di Pusat Akuatik, Kompleks Tuanku Syed Putra, di sini, Ahad.

Jian Han mencatatkan masa 2 minit 07.02 saat pada peringkat saringan acara itu mengatasi rekod yang dicipta oleh Lim Keng Liat, 2:07.27, pada Sukma keenam di Pahang pada 1996.

Bagaimanapun, perenang Johor itu hanya mencatatkan masa 2:09.14s pada pusingan akhir untuk meraih emas, mengatasi perenang Sarawak Alex Tiong (2:11.85s) diikuti Tia'a Faang Der dari Johor (2:12.55s) yang membawa pulang pingat gangsa.

"Saya tidak jangka akan mengatasi rekod kejohanan yang telah dibuat sejak 18 tahun lepas namun bersyukur dapat cipta rekod kejohanan baharu. Cuma agak terkejut dan kecewa apabila pada pusingan akhir saya tidak dapat capai rekod yang lebih baik.

"Jadi saya rasa untuk memperbaiki rekod peribadi sedia ada sekarang, saya perlu melakukan perubahan dari segi teknik renang dan juga stamina," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian pingat.

Jian Han, yang mengagumi perenang kuak lentang Jepun Ryosuke Irie, sebelum ini meraih pingat emas dalam acara 100m kuak lentang pada hari pertama acara itu dipertandingkan.

Turut memperbaharui rekod kejohanan ialah perenang Selangor Chan Jie dengan rekod 55.04s mengatasi rekod lama oleh Daniel Bego, 55.27s dalam acara 100m kuak kupu-kupu pada Sukma ke-12 di Terengganu pada 2008.

Pada hari terakhir acara renang hari ini, Selangor muncul juara keseluruhan dengan mengutip 11 emas, 18 perak dan 13 pingat gangsa diikuti Wilayah Persekutuan dengan 10-6-9.

Sarawak pula menduduki tempat ketiga dengan kutipan sembilan emas, lima perak dan tiga pingat gangsa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain