suria

Pasukan Kata Pulau Pinang Pertahan Pingat Emas

Pasukan Kata Pulau Pinang

ARAU: Atlet termuda acara Kata berpasukan lelaki Pulau Pinang, Ivan Oh bangga dapat membantu pasukannya meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 di Kolej Matrikulasi Perlis, di sini pada Ahad.

Pasukan Pulau Pinang merangkul kejuaraan selepas mengalahkan Perlis, manakala pingat gangsa dikongsi pasukan Sabah dan Melaka.

Oh, 17, yang mula menyertai skuad pelapis kebangsaan sejak dua tahun lepas berkata agak sukar baginya untuk berada sebaris dengan dua lagi ahli pasukannya, Thomson Hoe dan Joshua Wong.

"Ini merupakan Sukma pertama saya dan saya perlu berusaha lebih gigih bagi memastikan saya setaraf dengan dua senior saya...mereka (Hoe dan Wong) banyak memberi tunjuk ajar," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Katanya, sebaik sahaja membuat keputusan untuk menyertai Sukma Perlis, beliau menetapkan keazaman untuk merebut pingat emas dalam acara kegemarannya itu yang diceburinya sejak sekolah rendah.

Sementara itu, Hoe turut melahirkan perasaan syukur dan berterima kasih kepada rakan sepasukannya kerana berjaya mengekalkan pingat emas.

Pasukan Kata wanita Pulau Pinang dibarisi Celine Lee, Khaw Yee Voon dan Zoey Wong turut merangkul pingat emas selepas menewaskan pasukan Sarawak.

Lee berkata kesungguhan dan usaha berterusan mereka membuahkan hasil untuk mengekalkan pingat emas pada temasya sama dua tahun lepas di Pahang.

Pingat gangsa dikongsi pasukan Wilayah Persekutuan dan Johor.


Kata, Pulau Pinang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain