suria

JDT Catat Kemenangan Dramatik 3-2 Ke Atas Lions XII

KUALA LUMPUR: Pasukan berstatus bintang, Johor Darul Ta'zim (JDT) bangkit daripada ketinggalan sebelum meraih kemenangan dramatik 3-2 ke atas wakil Singapura, Lions XII pada aksi tunggal Liga Super, di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam ini.

Kemenangan itu membolehkan JDT naik satu anak tangga pada kedudukan ketiga dengan kutipan 29 mata, berkongsi mata dengan Pahang yang kekal di tangga kedua berdasarkan beza jaringan yang lebih tinggi.

Kekalahan ketujuh yang direkodkan Lions XII kendalian legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad tidak mengubah kedudukan mereka yang kekal di tangga kelapan dengan pungutan 21 mata.

Pemain sayap, Muhammad Faris Ramli membuka tirai jaringan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-38 selepas berjaya memperdayakan pemain pertahanan JDT, S. Subramaniam sebelum mudah menolak masuk bola untuk mengalahkan penjaga gol, Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Tiga minit kemudian, Zulfahmi Arifin menggandakan kedudukan untuk Lions XII selepas menyempurnakan sepakan percuma cantik yang menerjah ke penjuru kiri gol JDT.

Pemain import baharu dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz mengurangkan defisit jaringan untuk JDT pada minit ke-43 sebelum Luciano Figueroa menyamakan kedudukan menjadi 2-2 pada minit ke-55 menerusi sepakan penalti.

Sepakan itu diberikan pengadil, Nazmi Nazaruddin selepas pemain JDT mendakwa bola mengenai tangan pemain pertahanan Lions XII, Muhammad Afiq Yunos di dalam kawasan penalti.

Diaz muncul wira skuad 'Harimau Selatan' selepas menjaringkan gol peribadi kedua perlawanan pada minit ke-75 untuk membolehkan mereka meraih tiga mata berharga.

JDT akan bertandang ke Stadium Shah Alam, Jumaat ini berdepan Selangor manakala Lions XII akan menanti kunjungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di laman sendiri, pada Sabtu.
JDT, Lions VII

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Piala Thomas/Uber

Artikel Lain