suria

Semangat Berpasukan Senjata Skuad Piala Thomas

Kenny Goh (kiri)

KUALA LUMPUR: Semangat berpasukan menjadi elemen terpenting diterapkan oleh pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap skuad badminton negara yang akan bersaing dalam kempen Piala Thomas dan Uber 2014 di India, pertengahan bulan ini.

Pengurus Besar BAM Kenny Goh berkata persiapan skuad negara untuk menghadapi kejohanan berprestij itu berbeza dengan edisi sebelum ini dengan kesemua pelatih diletakkan di bawah satu kem bagi memastikan fokus mereka tidak terganggu.

"Sebelum ini pemain perseorangan dan beregu menjalani latihan berasingan tetapi kali ini semua membuat persiapan bersama-sama bagi mengeratkan hubungan mereka sepasukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini, Isnin.

Kenny berkata perseorangan lelaki kedua negara, Liew Daren dan pemain beregu wanita, Amelia Anscelly masing-masing dilantik mengetuai skuad Piala Thomas dan Uber selepas mendapat sokongan daripada pemain lain.

"Ini menunjukkan pemain sepakat dalam membuat keputusan dan saya percaya Chong Wei dan pemain senior lain turut bersetuju dalam pemilihan ketua pasukan pada kali ini," katanya.

Kenny turut senada dengan pandangan Presiden BAM, Tengku Mahaleel Tengku Ariff mengenai peluang skuad negara dalam kejohanan badminton berpasukan tersebut iaitu mara ke separuh akhir untuk skuad Piala Thomas dan layak ke suku akhir bagi skuad Piala Uber.

Sasaran itu berdasarkan kedudukan skuad lelaki negara yang kini dalam empat pasukan terbaik dunia manakala sasaran skuad Piala Uber dibuat sendiri oleh jurulatih perseorangan wanita negara, Wong Tat Meng.

BAM pada Ahad menyenaraikan 10 pemain masing-masing bagi menggalas cabaran negara untuk Piala Thomas dan Uber 2014.

Skuad Piala Thomas dibarisi oleh Lee Chong Wei, Chong Wei Feng, Liew Daren, Goh Soon Huat dalam acara perseorangan lelaki manakala beregu lelaki diwakili oleh Hoon Thien How/Tan Wee Kiong; Tan Boon Heong/Chan Peng Soon dan Lim Khim Wah/Goh V Shem.

Skuad Uber pula diwakili oleh Tee Jing Yi, Yang Li Lian, Lim Yin Fun, Lim Chiew Sien (perseorangan) selain Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei, Amelia Anscelly/Soong Fie Cho, Lim Yin Loo/Lee Meng Yean (beregu wanita). 


BAM, Piala Thomas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain