suria

TMJ Perjelas Kedudukan Terkini Tentang Baihakki Dan Pablo Aimar

Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor pada Ahad mengesahkan keputusan untuk menggantikan pemain pertahanan pasukan, Baihakki Khaizan dan penyerangnya, Pablo Aimar dibuat oleh bekas ketua jurulatih Cesar Ferrando Jiminez.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berkata, keputusan itu dibuat oleh Jiminez sebelum beliau digantikan oleh Bojan Hodak.

"Baihakki merupakan seorang pemain pertahanan yang bagus namun untuk bersaing dengan penyerang-penyerang import pihak lawan, kita perlu mendapatkan pemain yang mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa." 

"Cesar mencadangkan bahawa kita perlukan pemain yang mempunyai fizikal lebih besar dan kuat," katanya yang kini berada di Argentina menerusi laman sosial rasmi pasukan Harimau Selatan itu pada Ahad.

Mengenai bekas penyerang kebangsaan Argentina itu pula, Tunku Ismail berkata, Aimar masih bergelut dengan masalah kecederaan dan gagal memberikan sepenuh perhatian di atas padang dengan hanya bermain dua daripada lapan perlawanan.

JDT yang membuat pelaburan yang amat tinggi, katanya, hanya mampu menurunkan seorang pemain import antarabangsa dan seorang import Asean dan ia merugikan pasukan.

"Sehubungan itu, pihak kejurulatihan telah mencadangkan kepada pengurusan PBNJ untuk mendapatkan pemain baru yang berkeupayaan untuk beraksi dan cergas selama 90 minit perlawanan," katanya.

Tindakan menggantikan Aimar itu menurutnya, bertujuan untuk mengimbangi serta menyaingi pasukan lain yang memiliki tiga pemain import yang berwibawa dan kelebihan itu nyata berpihak kepada mereka. 

Walaupun tiada pengumuman rasmi daripada PBNJ sehingga ini, tetapi JDT dipercayai telah mengikat bekas pemain pertahanan kelab Bundesliga, FC Nuremberg kelahiran Brazil, Marcos Antonio Elias Santos, 30.

Selain FC Nuremberg, Marcos juga pernah bermain di antaranya dengan pasukan kelab Portugal Porto, kelab Perancis Auxerre dan kelab di dalam liga utama Greek, Paok FC.

Mengenai kedudukan Jiminez itu sendiri, Tunku Mahkota Johor berkata, masalah utama membelenggu jurulatih kelahiran Sepanyol itu adalah komunikasi disebabkan ketidakfasihan beliau bertutur di dalam Bahasa Inggeris.

"Ini kerana sewaktu didalam bilik persalinan, para pemain kurang faham dan tidak jelas dengan arahan yang diberikan oleh Jimenez disebabkan beliau kurang fasih berbahasa Inggeris," katanya.

Disebabkan ketidakfasihannya, Jiminez yang masih kekal sebagai pengarah taktikal persatuan, katanya, turut gagal memberikan motivasi kepada setiap pemain.

Bekas jurulatih Valencia dan Athletico Madrid yang bakal terus membantu Hodak, akan membimbing pemain-pemain muda JDT 2 dan Piala Presiden, katanya.

Pelantikan Hodak pula kata beliau berdasarkan rekod pencapaian di mana pernah memenangi empat kejuaraan serta pengalaman yang luas di dalam liga

Malaysia serta mengenali kekuatan pemain-pemain dan pasukan tempatan.

Artikel Lain