suria

Tenis: Zarina Tempah Tiket Ke Suku Akhir Terbuka Malaysia BMW

Zarina mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain Itali, Gatto-Monticone.

KUALA LUMPUR: Bintang tenis Kazakhstan, Zarina Diyas menempah tiket ke aksi suku akhir  Jelajah WTA buat kali pertama dalam tempoh dua tahun pada aksi Terbuka Malaysia BMW di Kelab Golf Diraja Selangor, Rabu.

Pemain yang kini berada di ranking ke-93 dunia itu mempamerkan aksi mantap  menewaskan pemain Itali, Giulia Gatto-Monticone 6-1, 6-4 dalam 72 minit.

Zarina memulakan karier profesional pada 2008, mematahkan servis Giulia sebanyak lima kali dan menyelamatkan empat mata 'break'. 

Pada set pertama, pemain berusia 20 tahun itu memenangi 57 peratus daripada servis pertamanya.

Namun Giulia, yang memperoleh kemenangan sulung undian utama pada pusingan pertama pada Selasa, cuba bangkit memberikan cabaran lebih sengit pada set berikutnya. 

Kali terakhir melangkah sejauh suku akhir pertandingan Jelajah adalah pada 2012 di Taipei.

"Saya bermain dengan baik hari ini meskipun di bawa keadaan yang sukar. 

"Bagaimanapun Giulia tidak memberi laluan mudah untuk saya pada permulaan set kedua dengan bertindak lebih agresif. 

"Saya cuba mengubah strategi dengan membalas pukulan sudut untuk meyukarkan lawan saya," kata Zarina.

Sementara itu, dalam  aksi beregu, pilihan ketiga Jarmila Gajdosova dari Australia dan Hsieh Su Wei dari Taiwan menyingkirkan pasangan Taiwan-Jepun iaitu Chuang Chia Jung dan Rika Fujiwara 6-3, 6-4 dalam saingan pusingan pertama. 

Pasangan itu bagaimanapun akan turun ke gelanggang semula untuk bertemu Chan Chin Wei dari Taiwan dan Xu Yi Fan dari China bagi tempat ke separuh akhir.

Hujan lebat menyebabkan perlawanan terpaksa ditangguhkan hampir sejam  pada pukul 3.50 petang.

Artikel Lain