suria

Perak-JDT: FAM Tunggu Laporan Sekretariat

Penyokong JDT dikumpulkan di tengah padang apabila penyokong Perak mencetuskan provokasi selepas tamat perlawanan. Foto: BERNAMA

PETALING JAYA: Arena bola sepak negara terus hangat dengan gelagat penyokong yang tidak bertanggungjawab dengan menimbulkan provokasi sehingga menimbulkan suasana huru-hara pada perlawanan Liga Super di antara Perak dan Johor DT di Stadium Perak pada Selasa malam.

Adegan panas dilaporkan bermula sebelum perlawanan apabila bas penyokong JDT disembur cat bewarna kuning membuatkan penyokong JDT terpaksa menutup contengan itu dengan kertas.

Tidak cukup dengan itu, penyokong-penyokong Perak pula dikatakan memulakan provokasi kepada penyokong pasukan pelawat selepas perlawanan sehingga mencederakan beberapa penonton lain serta jurugambar dari New Straits Times dan wartawan Sinar Harian.

Malah anggota polis yang bertugas turut cedera terkena balingan objek keras yang dibaling penyokong.

Anggota polis yang bertugas turut cedera apabila berlaku provokasi antara penyokong Perak dengan penyokong pasukan JDT selepas perlawanan.



Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, beliau masih belum menerima sebarang laporan daripada pihak sekretariat.

"Saya hanya membaca mengenai kejadian tersebut di akhbar hari ini (Rabu) dan sehingga itu saya masih menunggu penjelasan atau maklumat lanjut daripada pihak sekretariat," katanya ketika diminta mengulas kejadian ini.


Kejadian tersebut memaksa pihak keselamatan stadium serta pasukan polis simpanan persekutuan (FRU), bertindak bagi mengawal keadaan.

Sehingga kini dilaporkan seramai lapan lelaki berusia 16 hingga 25 tahun ditahan berikutan kekecohan yang berlaku.

Pada perlawanan tersebut, JDT menang tipis 1-0.

Liga Super, JDT, Perak, Stadium Perak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain