suria

Terjun: Pandelela, Mun Yee Rangkul Perak Pada Siri Dunia Di Dubai

Pendelela (kanan) dan Mun Yee raih perak pada pusingan kedua Siri Dunia FINA di Dubai.

KUALA LUMPUR: Jaguh acara terjun Malaysia, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee, memenangi pingat perak pada pusingan kedua Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA 2014 di Kompleks Sukan Hamdan Bin Mohammed Bin Rashid di Dubai, Emiriah Arab Bersatu, Khamis.

Pasangan itu mengumpul 314.64 mata dalam acara platform 10m seirama wanita, bagi mengulangi kejayaan memenangi pingat perak pada pusingan pembukaan di Beijing,  China minggu lepas.

Pasangan China, Chen Ruolin dan Liu Huixia, pula meneruskan penguasaan mereka dalam kategori itu dengan mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada pusingan pertama, selepas mengumpul 337.56 mata manakala Benfeito Meaghan dan Filion Roseline dari Canada memenangi gangsa dengan  309.09 mata.

Bagaimanapun, pemenang pingat emas Sukan SEA Myanmar 2013, Ng Yan Yee dan Cheong Jun Hoong gagal menampilkan terjunan baik apabila hanya mengumpul 274.80 mata dalam acara papan anjal 3m seirama wanita untuk menduduki tempat keempat.

Shi Tingmao dan Wu Minxia dari China memenangi pingat emas dalam acara itu selepas mengumpul 335.40 mata manakala pasangan dari Mexico, Arantxa Chavez dan Laura Sanchez, membawa pulang pingat perak dengan mengumpul 286.50 mata.

Tania Cagnotto dan Francesca Dallape dari Itali pula memenangi gangsa dengan 279.30 mata.

Pasangan Malaysia, Ahmad Amsyar Azman dan Ooi Tze Liang akan bersaing dalam peringkat akhir acara papan anjal 3m seirama lelaki lewat Khamis.

Artikel Berikut

Artikel Lain