suria

YY Pang Dijangka Kuasai Pusingan Keenam Di Litar Elite Speedway Plus Esok

KUALA LUMPUR: Pasukan lumba motosikal utama tempatan, Motul Yamaha YY Pang Racing, dijangka menguasai pusingan keenam KBS-MAM Kapcai Endurance Race di Litar Elite Speedway Plus di Subang Jaya, dekat sini, Ahad.

Membariskan gandingan mantap Mohd Adid Rosley, Mohd Azhar Abdul Jalil dan Mohd Izat Zaidi bagi kategori bawah 150cc, pasukan itu menjadi pilihan utama pada perlumbaan yang menarik 39 pasukan kali ini.

"Seperti diramalkan, pusingan Selangor ini telah menarik pasukan-pasukan utama tempatan dan berdasarkan pencapaian, pasukan YY Pang menjadi pilihan untuk memenangi perlumbaan," kata Presiden Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM), Eizwar Supiar dalam kenyataan di sini Sabtu.

"Tetapi ini adalah perlumbaan tahan lasak dan setiap pasukan perlu mengekalkan kuasa dan konsisten selama dua jam. Secara ikhlas saya rasa, perlumbaan kali ini adalah terbuka," katanya.

Perlumbaan itu dibahagikan kepada tiga kategori membabitkan bawah 100cc, bawah 120cc dan bawah 150cc dan ia terbuka kepada pelumba berusia 16 tahun ke atas.

Selepas pusingan Selangor, siri itu akan beralih ke pusingan ketujuh di Litar Dato Sagor di Kampung Gajah, Perak, pada 19 dan 20 Januari ini sebelum pusingan kelapan dan terakhir di Kuala Terengganu pada 1 dan 2 Februari ini.

Bagi setiap pusingan, tujuh pasukan dalam setiap kategori akan layak ke Grand Final di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 23 dan 24 Februari ini dengan juara setiap kategori akan menerima slot automatik untuk perlumbaan Piala SIC Ninja 250 2013.

Buat julung kali, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama MAM menganjurkan siri perlumbaan tahan lasak khusus bagi mencungkil bakat baharu dalam perlumbaan motosikal. - BERNAMA

Artikel Lain