suria

Desa Murni Batik Taja Tiga Pasukan Bola Sepak Pantai Timur

KUALA TERENGGANU: Desa Murni Batik Sdn Bhd, sebuah syarikat pengeluar batik bumiputera berpangkalan di sini, melakar sejarah tersendiri dengan melabur sebanyak RM650,000 bagi menaja tiga pasukan bola sepak tempatan pada musim ini.

Pengarah Urusannya, Suhaimi Embong berkata pihaknya bersetuju menaja pasukan Terengganu, Kelantan serta sebuah lagi pasukan kelab T-Team sebagai sokongan demi memajukan industri bola sepak tanah air.

Katanya penajaan ini juga didorong tanggungjawab sosial syarikat yang mahu melihat sukan bola sepak mendapat tempat di kalangan masyarakat agar terus maju serta mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi berbanding sekarang.

"Walaupun Desa Murni Batik Sdn Bhd merupakan pengeluar batik, namun ia bukan penghalang kepada kami seperti syarikat bertaraf korporat yang lain untuk turut serta menjayakan sukan di negara ini.

"Sepadan dengan produk syarikat yang mementingkan kualiti, begitulah yang diharapkan kepada sukan bola sepak negeri untuk terus menjaga kualiti dan prestasi walaupun jumlah penajaan kami tidaklah begitu besar," katanya selepas majlis penyerahan penajaan di sini.

Pasukan Terengganu memperoleh penajaan terbesar sebanyak RM400,000, diikuti Kelantan (RM200,000) dan T-Team (RM50,000).

Suhaimi berkata penjaan tersebut sekali gus membolehkan logo Desa Murni Batik dipaparkan pada jersi latihan dan perlawanan serta pakaian rasmi pasukan tersebut dan secara tidak langsung dapat memperkenalkan lagi syarikatnya.

Beliau berkata mulai tahun ini dan seterusnya syarikatnya dalam usaha memperkemaskan dan mengukuhkan penjenamaan Desa Murni, dan penajaan itu diharap mampu meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai kewujudan produk daripada syarikat Desa Murni.

"Ia umpama iklan bergerak untuk mencuri tumpuan khalayak mengenai produk keluaran syarikat namun penajaan ini tidak semata-mata bertujuan meraih keuntungan kerana kami lebih fokus kepada perkembangan sukan bola sepak itu sendiri," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain