suria

Hanya Presiden, Setiausaha Kehormat FAM Boleh Keluar Kenyataan

SHAH ALAM: Hanya Presiden dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang boleh mengeluarkan kenyataan berhubung desakan gabungan penyokong bola sepak tempatan yang mahu badan induk bola sepak itu dirombak, kata Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Saya tidak boleh memberi sebarang komen berhubung isu tersebut. Hanya orang yang bertauliah yang boleh memberi kenyataan," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Pertandingan Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau Piala Sumbangsih 2013 di Stadium Shah Alam di sini Isnin.

Jumaat lepas, satu gerakan gabungan penyokong bola sepak tempatan (PFSLJ) menggesa agar rombakan besar-besaran dilakukan terhadap pengurusan tertinggi FAM yang dikatakan tidak pernah bertukar sejak 28 tahun lepas.

Mengenai perlawanan Piala Sumbangsih pada Sabtu ini, Hamidin berkata saingan yang dijangka sengit antara juara Piala Malaysia 2012, Kelantan dan naib juara, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan bermula pukul 8.45 malam di Stadium Shah Alam.

Tiket berharga RM20 bagi penonton berumur 12 tahun ke atas akan mula dijual pada Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 7 malam di stadium tersebut dan pada hari perlawanan dari 9 pagi.

"Pembahagian tiket adalah sama rata kepada kedua-dua belah penyokong pasukan dan kita menyasarkan jumlah penyokong antara 30,000 hingga 40,000 orang," kata Hamidin.

Beliau berkata ATM akan mengadakan latihan Jumaat ini di stadium tersebut bermula pukul 7.30 malam hingga 8.15 malam, manakala Kelantan di lokasi yang sama dari pukul 8.30 malam hingga 9.15 malam. -- BERNAMA

Artikel Lain