Hoki: Malaysia Tewaskan Oman 4-1 Pada Piala Juara-Juara Asia - Sukan | mStar

Hoki: Malaysia Tewaskan Oman 4-1 Pada Piala Juara-Juara Asia

KUALA LUMPUR: Pasukan hoki lelaki kebangsaan memperoleh kemenangan kedua dalam Kejohanan Hoki Piala Juara-juara Asia setelah mengalahkan Oman 4-1 di Stadium Hoki Al Rayyan di Doha, Qatar pada Jumaat.

Khamis lepas, mereka menumpaskan Jepun dengan jumlah jaringan yang sama.

Anak didik Paul Revington itu bagaimanapun dikejutkan oleh jaringan pembukaan oleh pemain Oman, Bait Jandal menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-16.

Tujuh minit berselang, penyerang kebangsaan Mohd Faizal Saari menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti sebelum Mohd Razie Rahim menjarakkan kedudukan Malaysia menerusi gol padang pada minit ke-28.

Mohd Razie menyumbangkan gol kedua peribadi dalam perlawanan itu pada minit ke-62 sebelum pemain veteran Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Ahmad Jalil menjaring gol keempat pada minit ke-66.

Pemain negara, bagaimanapun, berdepan tugas getir apabila mereka dijadual berdepan Pakistan, iaitu juara tahun lepas, pada Ahad.

Selain Malaysia, Jepun, Oman dan Pakistan, pasukan lain yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu ialah juara bertahan India dan China.

Malaysia mengetepikan Jepun 1-0 untuk membawa pulang pingat gangsa dalam edisi pertama kejohanan itu di Ordos, China, tahun lepas.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Evans Sambung Kontrak Dua Tahun Bersama United

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Lebih Artikel