suria

Tiada Perubahan Pemain Untuk Tentang Indonesia Esok - Rajagobal

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih bola sepak kebangsaan Datuk K. Rajagobal membayangkan barisan pemain skuad Harimau Malaya yang mengalahkan Laos 4-1 pada Rabu akan dikekalkan apabila mereka menentang Indonesia dalam perlawanan Kumpulan B di Stadium Nasional di Bukit Jalil malam Sabtu.

Bagaimanapun, Rajagobal, 56, berkata keputusan itu belum muktamad kerana beberapa pemain masih dihinggapi kecederaan, manakala seorang tidak memenuhi harapannya ketika pasukan itu menentang Laos dan Singapura.

"Saya hanya boleh berkata mungkin ya (perubahan dalam barisan pemain) dan mungkin tidak kerana Indonesia juga mungkin menukar pemain mereka untuk perlawanan esok, walaupun mereka mengalahkan Singapura 1-0 (pada Rabu) untuk mengutip tiga mata pertama mereka.

"Kalau ada pun perubahan dalam skuad kebangsaan, ia di paras minimum," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat para pengurus pasukan Kumpulan B di Seri Kembangan dekat sini, Jumaat.

Beliau berkata pemain penyerang bahagian tengah Mohd Khyrill Muhymeen Zambri mengalami kecederaan serius di bahagian bawah perut dan mungkin tidak dapat diturunkan pada perlawanan esok.

"Kecederaan Mohd Khyrill agak serius. Saya kecualikannya daripada sesi latihan hari ini.

"Saya akan minta pandangan pasukan sebelum membuat keputusan sama ada akan menurunkannya atau tidak bagi menentang Indonesia," kata beliau.

Rajagobal berkata beliau juga berharap para pemain akan mengekalkan momentum yang mereka pamerkan ketika menentang Laos apabila bertemu Indonesia esok.

"Saya mahu semua pemain saya berfikir untuk menang setiap kali mereka turun ke padang kerana setiap perlawanan kumpulan adalah penting bagi kami (untuk melayakkan diri ke separuh akhir)," katanya.

Beliau juga mengingatkan para pemain berhubung ancaman yang mungkin diberi pasukan Indonesia melalui pemain penyerang bahagian tengah mereka seperti Andik Vermansyah dan Elie Aiboy.

Sementara itu, ketua jurulatih Indonesia, Nil Maizar berkata beliau berharap pasukannya mencapai keputusan baik pada perlawanan akhir Kumpulan B mereka menentang skuad Harimau Malaya esok.

"Saya harap pemain saya berjuang dengan sepenuh hati dan mendapat hasil positif, walaupun perlawanan menentang Malaysia adalah sesuatu yang berat," katanya sambil menyifatkan perlawanan antara dua pasukan itu merupakan pertarungan kekuatan fizikal.

Beliau berkata pemain pertahanan utama Indonesia, Wahyu Wijiastanto belum pasti dapat diturunkan malam esok kerana mengalami kecederaan dan pasukannya meletakkan harapan kepada tiga pemain pertahanan lain iaitu Raphael Guillerm Eduardo Maitimo, Vendry Ronaldo Mofu dan Nopendi untuk menyekat kemaraan barisan depan Harimau Malaya yang diketuai Mohd Safee Mohd Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.

Skuad Harimau Malaya perlu memenangi perlawanan akhir mereka dalam Kumpulan B esok sekiranya mereka ingin mempertahankan gelaran juara, manakala Indonesia pula hanya perlu seri untuk menempah tempat ke separuh akhir.

Untuk rekod, kedua-dua pasukan bertemu tujuh kali dalam kejohanan Piala AFF Suzuki sejak 1996, dengan Indonesia mempunyai kelebihan 4-3. BERNAMA

Artikel Lain