suria

Badminton: BAM Disaran Tidak Tergesa-Gesa Cari Pengarah Kejurulatihan

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dinasihatkan supaya tidak terburu-buru dalam mencari calon untuk mengisi jawatan Pengarah Kejurulatihan Prestasi Tinggi badan induk itu, kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Zolkples Embong.

Beliau berkata apa yang penting pemegang jawatan tersebut mampu melaksanakan tanggungjawabnya supaya tidak membazirkan masa dan wang.

"Lambat lantik tidak apa, asalkan dapat pilih yang sesuai. Jangan pakai lantik sahaja tetapi tidak boleh menjalankan tugas," katanya.

Baru-baru ini BAM gagal dalam usahanya memancing ketua jurulatih Jepun, Park Joo-bong untuk mengisi jawatan tersebut.

Bekas pemain badminton Korea Selatan itu menolak tawaran RM40,000 sebulan yang ditawarkan BAM pada saat-saat akhir kerana dikatakan telah dipujuk oleh skuad bimbingannya untuk kekal bersama mereka.

BAM kini meneruskan pencarian dan telah meluaskan skop dengan membuka pencalonan bukan sahaja kepada jurulatih asing tetapi juga personaliti tempatan.

Zolkples berkata jawatan pengarah kejurulatihan itu perlu diwujudkan dan relevan memandangkan BAM mempunyai banyak program untuk dilaksanakan di pelbagai peringkat selain mempunyai ramai jurulatih

"BAM memerlukan seseorang untuk mengkoordinasikan program-program ini yang mempunyai kepakaran merancang strategi dalam semua acara, perseorangan, beregu, dan beregu campuran di semua peringkat, bukan skuad elit sahaja.

"Beliau juga wajib mempunyai kemahiran pengurusan manusia untuk mengendali jurulatih-jurulatih yang pelbagai ragam dan mampu menasihati mereka dari segi strategi dan perancangan," katanya lagi.

Pemegang jawatan itu difahamkan turut bertanggungjawab mengendalikan projek jangka panjang yang melibatkan persediaan atlet badminton negara ke Sukan Olimpik 2016, 2020 dan 2024.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain