suria

Tenis Terbuka Malaysia: Assri, Syed Terima Wild Card Acara Beregu

KUALA LUMPR: Pemain tenis negara, Mohd Assri Merzuki dan Syed Mohd Agil Syed Naguib menerima tiket wild card untuk beraksi dalam acara beregu pada Kejohanan Tenis Terbuka Malaysia Jelajah Dunia ATP 2012 di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Tawaran yang baru diumumkan itu dianggap sebagai peluang terbaik untuk beraksi menentang pasangan beregu terbaik dunia yang lain.

Tambahan pula, berita ini juga menjadi pengubat kekecewaan kepada mereka yang telah tewas pada aksi pusingan pertama kelayakan perseorangan awal pagi Sabtu.

"Sudah tiga atau empat tahun kami tidak bergandingan bersama. Namun saya selalu bermain dengannya dalam aksi perseorangan.

"Saya sentiasa bersedia dan tidak menjadi masalah untuk bergandingan dengan Assri," jelas Syed Mohd Agil.

Kedua-dua pemain yang berusia 18 tahun ini diundi akan bertemu dengan pasangan pilihan pertama kejohanan dari Poland, Fyrstenberg Marius dan Matkowski Marcin.

"Ia dianggap sebagai satu pengalaman penting buat kami kerana bakal bertemu dengan pemain-pemain dalam kelompok enam terbaik.

"Cabaran agak sukar, namun kami yakin akan bermain dengan baik dan tidak ada tekanan," tambahnya.

Sementara itu, pemain terbaik Asia, Nishikori Kei,22, yang kini menduduki ke-17 dunia mengakui saingan kejohanan tahun ini lebih sengit dengan kehadiran ramai bintang dunia.

Kei yang menjadi pemain pilihan ketiga edisi keempat kejohanan ini menerima bye pada pusingan pertama.

"Tahun ini aksi dijangka lebih mencabar dengan kehadiran pemain-pemain yang berada dalam kelompok sepuluh terbaik dunia.

"Saya harap dapat mara ke final, namun sedar semua pemain inginkan ke peringkat itu.

"Apa yang penting, saya akan cuba menampilkan permainan yang baik dan kekuatan mental untuk menghadapi saingan ini," jelasnya selepas majlis undian utama kategori perseorangan.

Selain itu, pemain nombor lima dunia, David Ferrer, turut menerima bye pada aksi pertama yang akan bermula pada 24 September ini.

Selain Ferrer dan Kei, beberapa nama besar lain turut beraksi termasuk bintang dari Argentina, Monaco Juan (no 11), pemain nombor 19 dunia, Alexandr Dolgopolov, Lopez Feliciano (32),Andujar Pablo (33), Benneteau Julien (34) dan Melzer Jurgen ke-37 dunia.

Kejohanan terbuka ATP 250 tahun ini menampilan 28 orang pemain keseluruhan bagi merebut hadiah wang tunai bernilai lebih dari RM2 juta.

Artikel Lain