suria

Terengganu Hampir Pasti Dapat Khidmat Bekas pemain All Blacks Sebagai Jurulatih

KUALA TERENGGANU: Hasrat Terengganu mendapatkan khidmat bekas pemain All Blacks dari New Zealand membimbing pemain ragbi negeri itu mungkin menjadi kenyataan tidak lama lagi, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata dalam pertemuan antara wakil kerajaan negeri dan wakil Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia beberapa hari lepas, menunjukkan hasil positif dalam mewujudkan kerjasama tersebut.

"Kita dalam proses mewujudkan Akademi Ragbi Terengganu dan berharap jurulatih yang merupakan bekas pemain pasukan All Blacks itu akan dapat membantu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau berkata wakil Pesuruhjaya Tinggi New Zealand itu dijangka mengadakan perbincangan dengan Persatuan Rabgi New Zealand untuk mencari jurulatih yang berkelayakan.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM17 juta tahun ini melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu untuk memajukan sukan di negeri itu.

Beliau berkata Terengganu akan terus membuat persiapan bagi menghadapi mini Sukan Malaysia (Sukma) di Kuala Lumpur tahun depan dan Sukma 2014 di Perlis.

Katanya atlet Sukma Terengganu akan kembali menjalani latihan secara berterusan selepas Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan prestasi mereka tidak menurun.

Beliau berkata kerajaan negeri juga akan menyampaikan insentif kemenangan Sukma 2012 kepada atlet negeri itu di Sri Iman di sini, pada Jumaat ini.

Terengganu muncul juara keseluruhan Sukma ke-15 Pahang awal bulan ini, dengan mengumpul 62 pingat emas, 24 perak dan 31 gangsa.- BERNAMA

Artikel Lain