suria

Futsal: Sasaran Mara Ke Final Sukan Sea 2013

PETALING JAYA: Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai, Datuk Dr Hamdan Mohamed Khalib menyasarkan skuad futsal lelaki dan wanita kebangsaan mampu layak ke final Sukan Sea 2013.

Sasaran yang dibuat ini berdasarkan langkah serius pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk melihat skuad futsal kebangsaan kembali bersaing di peringkat tertinggi.

"Sejak tahun 2007 nama pasukan futsal lelaki Malaysia begitu disegani di Asia, namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini status itu sudah tidak disebut lagi.

"Sebelum ini skuad Vietnam berada di bawah Malaysia, tetapi sekarang mereka lebih baik dari negara kita berikutan perancangan yang lebih baik dilakukan.

"Berikutan dengan itu, FAM bersetuju untuk melantik Marcelo Serpa Coelho sebagai Pegarah Teknikal Futsal FAM," ujar Dr Hamdan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai di Wisma FAM, Khamis.

Menurut Dr Hamdan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai, perlantikan Serpa Coelho ini bagi tujuan membantu serta membuat perancangan kejurulatihan futsal untuk skuad kebangsaan bagi tujuan tersebut.

"Marcelo merupakan bekas pemain yang berpengalaman sebelum menjadi jurulatih di Perancis dan Sepanyol.

"Dia juga adalah bekas jurulatih skuad futsal di Eropah dan telah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik Kejuaraan Perancis tahun ini.

"Kami sendiri melihat Marcelo begitu berminat dengan skuad kebangsaan sejak tiba di sini beberapa hari lalu. Dalam tempoh terdekat ini, dia telah menyertai sesi latihan skuad kebangsaan untuk mengenali lebih dekat lagi corak futsal di sini.

"Marcelo diberi kontrak selama setahun termasuk 3 bulan untuk tempoh percubaan dan sembilan bulan penilaian," katanya.

Bagi memastikan sasaran tercapai, pihaknya telah bersetuju untuk mengadakan kursus kejurulatihan futsal kepada semua jurulatih futsal yang ada sekarang.

"Sekurang-kurang setiap jurulatih perlu mendapat sijil Tahap 1 terlebih dahulu sebelum membawa pasukan beraksi dalam Liga Futsal Kebangsaan pada Oktober ini.

"Ini bagi mamastikan semua jurulatih mempunyai perkara asas yang penting dan ia akan dipantau oleh Marcelo.

Sementara itu, Serpa Coelho,41, yang turut hadir pada sidang media ini berkata, buat masa sekarang dia masih dalam proses mengenali skuad futsal Malaysia.

"Saya mahu lebih mengenali mereka dengan lebih dekat lagi sebelum meneruskan program yang lebih akan dilaksanakan, dan dalam masa sama juga saya cuba mengetahui lebih lanjut liga futsal di sini dijalankan.

"Namun sebelum datang ke sini, saya juga pernah mendengar pasukan skuad Malaysia. Saya berharap mampu menjadikan pasukan ini yang terbaik," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain