suria

Skuad Wanita Kebangsaan Capai Sasaran Mara Ke Separuh Akhir

KUALA LUMPUR: Skuad wanita kebangsaan melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir kategori wanita Kejohanan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2011 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini Sabtu.

Skuad bimbingan Mohd Fikri Mohd Nor berjaya menewaskan Kemboja 3-0 pada perlawanan suku akhir.

Walaupun melakukan banyak kesilapan, kesungguhan barisan trio Malaysia yang dibarisi Noor Fairuz Azizan, Nurrashidah Abdul Rashid dan Siti Nurzubaidah Che Ab Wahab berjaya memenangi set pertama dengan kutipan 15-6.

Usaha Trio Kemboja yang dibarisi Chea Sreymas, San Sopheap dan Nguon Chanboramey menyekat kemaraan Malaysia tidak menjadi apabila skuad negara terus menguasi set kedua dengan 15-8.

Skuad negara melengkapkan kemenangan dengan mata 15-7 pada set ketiga perlawanan.

Jurulatih skuad wanita kebangsaan, Mohd Fikri berkata beliau rasa gembira dengan kejayaan hari ini kerana skuad bimbinganya telah berjaya mencapai sasaran yang dibuat sebelum ini namun berharap mampu meraih kejayaan pada peringkat berikutnya.

"Untuk mencapai kemenangan pada pusingan separuh akhir banyak peningkatan perlu dilakukan kerana Vietnam bukanlah calang-calang pasukan," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Pada perlawanan peringkat separuh akhir Ahad, skuad wanita kebangsaan akan bertemu dengan Vietnam dan Thailand pula bertemu China.

Sementara itu, skuad lelaki kebangsaan akan bertemu Singapura dan Thailand pula bertemu Myanmar pada perlawanan separuh akhir pada Ahad.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain