suria

Gagal Ke Final, Nasha Tidak Putus Asa

ALOR SETAR: Walaupun gagal ke peringkat akhir pusingan keenam Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2011 di sini semalam, pelumba tunggal wanita Nasha Edziera Mohd Bahauddin tidak patah semangat untuk mencuba pada pusingan seterusnya.

Gadis berusia 16 tahun yang berlumba sebagai pelumba persendirian ini berazam untuk layak ke final pada pusingan ketujuh di Kluang, Johor pada September ini.

"Untuk berada pada tahap yang sama dengan pelumba lelaki bukan mudah, tapi saya akan buktikan bahawa pelumba wanita juga boleh menyerlah dalam sukan lasak ini," katanya kepada Bernama.

Malah, pelajar Sekolah Menengah Tunku Ampuan Durah, Seremban, itu turut menyarankan agar penganjur mengadakan perlumbaan untuk wanita demi menggilap bakat kaum hawa dalam bidang sukan tersebut.

"Mungkin mereka (wanita) tidak berani menceburi sukan lasak ini apatah lagi ia dimonopoli oleh kaum lelaki. Jadi dengan adanya pertandingan untuk wanita sahaja, ia mungkin akan menarik lebih ramai wanita menyertai sukan lasak ini sebelum mereka bersaing dengan pelumba-pelumba lelaki," katanya.

Mengulas kegagalannya mara ke final dalam perlumbaan di perkarangan Stadium Darulaman semalam, Nasha berkata beliau mengalami masalah enjin ketika pusingan kelayakan.

Bagaimanapun kata Nasha, kumpulan mekanik yang terdiri daripada bapanya dan rakan-rakan telah membuat pelarasan bagi memastikan jenteranya tidak mengalami masalah serupa pada pusingan berikut.

"Mereka masih baru dalam melakukan kerja-kerja pelarasan jentera. Itu adalah senario yang biasa bagi pasukan baru seperti kami.

"Namun untuk pusingan ketujuh di Kluang nanti, saya perlu mantapkan stamina dan fokus pada perlumbaan. Saya harap masalah jentera tidak akan timbul lagi," katanya.

Mengakui tidak ada apa yang boleh dibanggakannya selepas enam pusingan kerana masih gagal mengutip mata, gadis bertudung ini berazam menghabiskan baki empat pusingan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain