suria

Duyong Heritage Juara Lumba Kapal Layar Piala Teluk Warisan

KUALA TERENGGANU: Kumpulan pelayar Duyong Heritage merampas piala pusingan Kejohanan Kapal Layar Piala Teluk Warisan apabila muncul juara menewaskan kumpulan ABMT yang merupakan juara musim lalu di Pulau Duyong pada Sabtu.

Kapten kumpulan Duyong Heritage, Amir Amri Mohamad bersama tujuh anggota iaitu Mohd Azhar Ismail, Mohd Hafiz Muhammad, Wan Nur Ferizal Wan Nordin, Mohd Basri Ismail, Abdul Rani Salim, Muhammad Hakim Arifin dan Azmawi Hasni bersama-sama mengharungi cabaran kali ini.

Kata Amir Amri, kejayaan itu adalah hasil usahasama dan semangat ahli kumpulan yang membolehkan kumpulan itu muncul juara pada pertandingan yang disertai lima kumpulan.

"Walaupun kami tidak membuat persiapan yang rapi, semangat yang ditunjukkan oleh mereka semua telah memberi kekuatan untuk kami menjuarai piala kali ini," katanya kepada Bernama.

Amir Amri juga berkata, mereka berharap agar kerajaan dapat memberi sumbangan daripada kemenangan mereka kali ini untuk mereka meningkatkan mutu serta dapat mengikuti pertandingan seperti itu pada masa akan datang.

"Saya berharap agar kerajaan negeri dapat menghulurkan sedikit sumbangan untuk membakar semangat kepada golongan muda dari Terengganu berminat menyertai pertandingan kapal layar seperti ini," katanya lagi.

Kejohanan Kapal Layar Piala Teluk Warisan yang bermula pada tahun 2008 merupakan kejohanan bertaraf novis yang dianjurkan bagi memperkenalkan perlumbaan kapal layar kepada rakyat tempatan dan Kejuaraan Perlumbaan Malaysia (MMRC).

Kejohanan tersebut anjuran World Match Racing Tour (WMRT) telah memberi peluang kepada pelayar amatur tempatan belayar menggunakan kapal layar F-36 di laluan sebenar Piala Monsun.

Peserta akan diajar perkara asas di kelas sebelum diberi peluang untuk berlayar menggunakan kapal layar.

Mereka kemudiannya akan bersaing sesama sendiri bagi merebut kejuaraan.

Ia membantu menaikkan semangat penduduk tempatan yang tidak perlu berbelanja mahal untuk belajar, termasuk tidak perlu membeli kapal layar bagi membolehkan mereka mengambil bahagian dalam sukan ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain