suria

Akademi Bola Sepak Tottenham Hotspur di Malaysia

Gary Mabbutt. - Foto THE STAR Oleh ART CHEN
Gary Mabbutt. - Foto THE STAR Oleh ART CHEN
Gary Mabbutt. - Foto THE STAR Oleh ART CHEN

KERANCAKAN program pembangunan sukan bola sepak negara semakin memberangsangkan dan ia merupakan satu perkembangan positif dalam misi berterusan melahirkan bakat-bakat muda bola sepak di peringkat akar umbi.

Sikap sensitif terhadap pembangunan bola sepak negara bukan sahaja tertumpu kepada kelab-kelab tempatan, tetapi turut menarik perhatian kelab bola sepak luar negara untuk berkongsi pengalaman bagi membantu memajukan bola sepak negara.

Biarpun cara pembangunan yang berbeza, namun misi utama untuk melahirkan pemain yang berpotensi adalah sama dan dengan itu inisiatif yang diambil oleh Syarikat Football Focus Asia untuk bekerjasama dengan Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham Hotspur adalah salah satu langkah bijak kerana manfaatnya bukan sahaja kepada Malaysia, malah turut memberi kesan kepada pembangunan sukan bola sepak Asia.

Dengan prestasi cemerlang kelab ini pada aksi EPL musim 2010/2011 yang berada di tempat kelima di belakang Arsenal dan di depan Liverpool, sekali gus membuktikan kelab ini sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri bagi menjayakan misi akademi ini.

Satu peluang hebat kepada pemain-pemain muda kerana dapat menerima sentuhan pemain lagenda Spurs, Gary Mabbutt yang telah beraksi lebih daripada 600 perlawanan (1982-1998) bersama Spurs dan merupakan kapten pasukan.

Mabbutt, 50, yang dilantik sebagai duta kelab berkata, program ini diadakan untuk menggilap bakat pemain bola sepak remaja negara dan juga Asia.

“Adalah sesuatu yang menarik jika dapat melihat rakyat Malaysia pertama dapat bermain dalam EPL dan bermain untuk Tottenham.

“Menerusi program ini, akademi bakal membawa jurulatih Tottenham ke Malaysia dan dilaksanakan setaraf dengan EPL. Ia bermula dengan peringkat bawah dan bukan sahaja tertumpu kepada aspek latihan, tetapi turut menerapkan beberapa faktor lain bagi memastikan mereka mendapat ilmu di tahap yang tertinggi,” jelasnya selepas merasmikan Program Akademi Tottenham Hotspur minggu lalu.

Katanya, Malaysia menjadi pilihan kerana kelab ini menyedari terdapat ramai bakat-bakat mula yang berpotensi di sini sebelum meneruskan program ini di Singapura serta Hong Kong. “Di Malaysia, Sekolah Antarabangsa British Kuala Lumpur (BISKL) merupakan antara institusi pertama di rantau Asia yang dengan menawarkan pengalaman akademi terbaik.

“Kami berharap program pembangunan ini dapat diperluas ke Hong Kong dan Singapura selepas ini bagi mencari bakat baru untuk digilap sebagai bintang bola sepak,” jelasnya.

Akademi ini akan beroperasi secara rasmi pada 21 Julai ini, terbuka kepada individu, pasukan mahupun untuk jurulatih dan pastinya ia bakal menawarkan pengalaman berharga kepada pemain-pemain muda yang berumur antara 10-18 tahun.

Yang pasti, mereka bukan sahaja mempelajari aspek fizikal pada sesi latihan, malah program turut menekankan kepada pembelajaran psikologi yang diperlu ketika bermain di EPL, diikuti dengan corak pemakanan dan nutrisi yang betul.

Bagi memastikan akademi ini mencapai objektifnya, Mabbutt berkata, program pembangunan itu tidak hanya berpusat di England, malah akan dibawa ke Malaysia dan Asia secara berkala dan diuruskan oleh pegawai-pegawai Tottenham Hotspur.

Sementara itu, Ketua Pembangunan Akademi Football Focus Asia, Sheldon Xavier berkata, Malaysia menjadi pengkalan pertama untuk program ini dan ia merupakan satu penghormatan kepada peminat-peminat sukan bola sepak tanah air kerana inilah masa yang sesuai untuk berkongsi idea dengan kelab terkenal EPL ini.

“Ia satu berita baik bukan sahaja kepada pembangunan bola sepak di Malaysia, malah program ini juga untuk Asia keseluruhannya. Cuma Malaysia bertuah kerana menjadi lokasi pertama akademi ini dilancarkan. Kami menyediakan kanak-kanak yang mempunyai bakat di seluruh Asia sebelum melangkah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya kepada Mingguan mStar.

Mereka yang ingin menyertai akademi ini boleh melayari lawan web www.footballfocusasia.com. Selain Mabbutt, akademi ini turut dikendalikan oleh Ketua Pembangunan Bola Sepak Tottenham Hotspur, Mark Jones.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain