suria

Zandra-Adrian Terlepas Pingat Emas

PETALING JAYA: Hanya 78 jatuhan pin memisahkan skuad boling negara, Zandra Aziela-Adrian Ang dengan gandingan mantap dari England Nicki Ainge-Miller dari England yang muncul juara acara beregu campuran dengan 2,621 jatuhan pin pada hari ketiga Kejohanan Tenpin Boling Komanwel di Megalanes Sunway Pyramid.

Pasangan negara sekadar mengutip 2,543 jatuhan pin secara keseluruhan untuk merampas kedudukan tempat kedua daripada gandingan senior, George Frilingos-Ann-Maree Putney (Australia) yang melakukan 2,524 jatuhan pin.

Menurut Zandra, kesilapan di awal game menjejaskan rentak permainan mereka sebelum kedua-duanya bangkit merapatkan jurang mata dengan pasangan dari Australia menerusi persembahan cemerlang di game terakhir.

"Kami sudah menggandakan usaha untuk menghidupkan peluang memenangi pingat emas tetapi pasukan dari negara lain sentiasa memberikan tentangan sengit.

"Memang sedih kerana pingat emas masih belum muncul lagi. Namun saya gembira berjaya juga menamatkan game di tempat kedua," katanya ketika ditemui selepas kejohanan.

Meskipun masih kempunan pingat emas, Zandra berasa lebih yakin dan mengharapkan tuah mengiringinya bersama rakan-rakan lain dalam acara berpasukan pada Khamis.

"Saya akan cuba melakukan yang terbaik. Walaupun kita selaku tuan rumah, kita tidak boleh terlalu yakin dan memandang remeh keupayaan lawan," ujarnya. Oleh kerana terlalu memikirkan mengenai perlawanan itu, Adrian mengakui corak permainannya sedikit terganggu di game keempat dan kelima.

"Saya hanya mahu mengekalkan rentak permainan tetapi balingan tidak menjadi pada game keempat dan kelima. Menyedari kami perlu menang atau akan kehilangan pingat, kami tekad bangkit di game terakhir. Namun, usaha kami menampakkan hasil apabila menang pingat perak," katanya.

Selepas memenangi pingat gangsa dan perak masing-masing dalam acara beregu lelaki dan beregu campuran, Adrian menaruh harapan tinggi untuk menyalakan kilauan emas buat negara dalam acara berpasukan pada Khamis.

"Apa yang penting sekarang kita perlu fokus dalam setiap permainan dan tidak terlalu memikirkan mengenai strategi lawan. Untuk perlawanan esok, kami akan melakukan yang terbaik dalam usaha menghadirkan pingat emas buat negara," tambahnya.

Artikel Sebelum

Zandra-Adrian Terlepas Pingat Emas

Artikel Berikut

Artikel Lain