suria

KOAM Mahu Jumpa KSU KBS Untuk Mohon Peruntukan Berlatih Di Ranau

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) akan bertemu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) esok untuk memohon peruntukan RM3 juta bagi membolehkan kesatuan itu mengadakan program latihan di Ranau, Sabah.

Presidennya Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu BERNAMA hari ini pertemuan akan diadakan dengan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian, Datuk Mohid Mohamed.

Majlis Sukan Negara (MSN) pada Ahad lepas menolak hasrat KOAM itu atas alasan tidak mahu membazirkan peruntukan kerajaan selain menganggap Ranau tidak sesuai dijadikan tempat latihan kerana beraltitud tinggi.

"Ahli majlis KOAM serta barisan jurulatih pada mesyuarat di Perlis pada Ahad sebulat suara bersetuju untuk meneruskan program latihan di Ranau. Selepas MSN menolak permohonan, kami akan berjumpa KSU untuk menerangkan rasional perlunya latihan di Ranau," katanya.

KOAM sebelum ini mahu memindahkan lokasi latihan atlet dari MSN Bukit Jalil ke Kompleks Sukan Ranau atas alasan latihan di trek Bukit Jalil sering terganggu berikutan latihan atlet sukan lain.

Kesatuan itu juga sebelum ini mengenal pasti 72 atlet untuk menjalani latihan intensif di Ranau yang dirancang menerusi empat fasa bermula bulan depan, dalam usaha meraih lebih banyak pingat emas dari Sukan SEA di Indonesia pada November ini.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata sebarang keputusan daripada pertemuan dengan KSU akan dibincangkan kembali oleh anggota majlis KOAM untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata KOAM juga telah merancang dengan teliti program latihan di Ranau dan tidak akan mengetepikan kebajikan atlet dan jurulatih.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain