suria

22 Pemain Bola Sepak Negara Akan Dapat Habuan Tabung Aku Janji

KUALA LUMPUR: Kesemua 22 pemain bola sepak negara, yang menamatkan penantian selama 14 tahun untuk menjulang Piala AFF Suzuki, akan menerima habuan masing-masing daripada Tabung Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim.

Ia adalah tambahan imbuhan RM5,000 setiap pemain yang akan diberikan kementerian, katanya.

Tabung Akujanji Ganjaran Piala AFF Suzuki, yang diwujudkan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) pada 20 Dis lepas, untuk memberi sumbangan kepada skuad negara jika memenangi Piala AFF Suzuki, kini mencecah RM90,000.

"Maknanya jumlah yang dia (SAM) dapat akan diberikan terus kepada setiap pemain. Saya rasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan melakukan perkara yang sama (beri imbuhan)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Semarak 1Belia 1Malaysia di Kompleks Belia dan Sukan Kuala Lumpur di Kampung Pandan di sini Sabtu.

Mengenai istilah "Harimau Malaya" yang dianggap tidak sesuai oleh sesetengah pihak, Razali berkata perkara itu akan dikaji. "Sudah tentu pandangan itu diambil kira. Sudah tentu kita akan lihat. Cuma pada saya tidak terfikir pun sebenarnya kerana perkataan "Harimau Malaya" itu telah digunakan sejak sekian lama, ada sejarahnya," katanya.

Katanya Kementerian Belia dan Sukan sedia mempertimbangkan untuk menukar gelaran itu sekiranya ramai yang berpendapat ia harus dilakukan.

Razali turut berharap tiada pihak menjadikan isu berkenaan sebagai polemik politik yang akan memecahbelahkan rakyat dan mencetuskan sentimen perkauman.

Gelaran "Harimau Malaya" dilaporkan telah menyinggung sesetengah peminat bola sepak yang menyifatkan gelaran itu hanya menaikkan nama Semenanjung namun tidak memasukkan nama Sabah dan Sarawak.

Malaysia menamatkan penantian selama 14 tahun selepas menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 pada perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF 2010 yang berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada 29 Disember lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain