suria

Ahmad Shabery Puas Hati Pencapaian Atlet Negara

KEMAMAN: Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek hari ini melahirkan rasa bangga dan puas hati beliau dengan pencapaian atlet negara di Sukan Asia, Guangzhou, China yang berakhir semalam.

Beliau berkata atlet negara telah mempelbagaikan pingat yang diperoleh dan tidak hanya bergantung kepada satu atau dua jenis sukan teras semata-mata.

"Ada banyak sukan baru seperti terjun, yang meletakkan atlet kita setaraf dengan penerjun di peringkat dunia," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Pertanian Daerah Kemaman di sini.

Mengenai program sukan 'Road to London' beliau berkata besar kemungkinan acara memanah akan digugurkan bagi membolehkan peruntukan bagi sukan itu diagihkan kepada sukan lain yang lebih berpotensi.

Katanya, ini kerana pasukan memanah gagal menunjukkan keputusan yang diharapkan pada temasya Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Sea lepas.

"Tetapi, dalam masa yang sama, kita dapat melihat peningkatan dalam sukan menembak dan hoki yang menunjukkan prestasi yang membanggakan," katanya.

Ahmad Shabery berkata kementerian menimbang untuk menggugurkan sukan yang 'kurang menjadi' sejak akhir-akhir ini, daripada bertanding di Sukan Olimpik. "Bagaimanapun, saya akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan pegawai-pegawai sukan. Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan Majlis Sukan negara, pihak Majlis Olimpik Malaysia dan ada bedah siasat yang paling banyak perlu dilihat.

"Misalnya, dalam bahagian olahraga di mana kita dilihat tidak mencuba langsung. Tidak ada satupun impak yang besar dalam olahraga...lari dan sebagainya.

"Dulu kita pernah dengar nama Rabuan Pit, tiba-tiba sekarang tiada langsung yang boleh kita harapkan, dan ini amat mengecewakan sekali," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain