suria

WPKL Pertahan Gelaran Juara

WPKL bergambar bersama trofi kejohanan edisi ke-32 yang dimenangi. Foto THE STAR/SAMUEL ONG
WPKL bergambar bersama trofi kejohanan edisi ke-32 yang dimenangi. Foto THE STAR/SAMUEL ONG
WPKL bergambar bersama trofi kejohanan edisi ke-32 yang dimenangi. Foto THE STAR/SAMUEL ONG

KUALA LUMPUR: Selepas bergelar juara pada tahun lalu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) sekali lagi mengulangi kejayaan itu apabila menewaskan Selangor 50-39 pada pusingan final Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan Ke-32 yang berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara di sini, Ahad.

Pasukan yang pernah menjuarai kejohanan itu sebanyak 18 kali mempamerkan persembahan bertenaga sejak awal minit perlawanan walaupun sentiasa menerima asakan sengit dari Selangor.

Jurulatih Wilayah Persekutuan, Norizan Rajab berkata, kemenangan itu merupakan kejayaan paling manis buat pasukannya sekali gus membolehkan mereka mendominasi ketiga-tiga perlawanan yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Jaring Malaysia (PBJM) pada tahun ini.

"Saya amat berbangga dengan pencapaian anak buah saya. Mereka berjaya mengikut arahan yang diberikan dan menjalankan tanggungjawab di dalam gelanggang dengan sempurna seperti yang dibincangkan.

"Alhamdullilah, strategi kami berkesan. Pada perlawanan tadi kami menurunkan enam pemain kebangsaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan.

Ketika ditanya mengenai persembahan Selangor, Norizan mengakui pasukan itu memiliki pemain tengah yang berpengalaman tetapi dilihat kurang cergas.

"Selangor memang satu pasukan yang baik. Barisan pemain tengah mereka terdiri daripada pemain kebangsaan dan mempunyai pengalaman luas. Namun mereka kekurangan stamina untuk bermain dalam tempoh permainan satu jam," ujarnya.

Menurut Norizan, pada perlawanan seperti itu kecergasan memainkan peranan penting dan stamina pasukannya berada pada tahap membanggakan.

Sementara itu, Johor menduduki tempat ketiga selepas menundukkan Kedah 62-24 pada perlawanan tempat ketiga di sebelah pagi.

Perlawanan itu turut menyaksikan pemain pertahanan Selangor, Nurul Atika Akbal Amad dinobatkan selaku pemain terbaik kejohanan manakala Nur Ain Omar dari WPKL dipilih sebagai penjaring terbanyak.

Perlis pula menerima Piala Fair Play 2010 selepas mempamerkan corak permainan sempurna sepanjang kejohanan itu.

Para pemenang menerima hadiah berupa pingat, sijil dan barangan sagu hati daripada Nestle.

Sebanyak 12 pasukan termasuk Perlis, Negeri Sembilan, Pahang, Angkatan Tentera Malaysia, Melaka, Perlis, Terengganu dan Polis Diraja Malaysia mengambil bahagian pada kejohanan yang berlangsung sejak Khamis lalu.

Majlis penyampaian hadiah dan penutup disempurnakan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong. Turut hadir adalah Presiden PBJM, Suraya Yaacob.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain