suria

Johor FC Ranapkan Kubu NS 1-0

KUALA LUMPUR: Pasukan berstatus kelab Johor FC membuat kejutan apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan 1-0 di hadapan puluhan ribu penyokong lawan pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Rabu malam.

Gol jaringan pemain nombor 10 Johor FC pada saat-saat terakhir iaitu pada minit ke 88, Mohd Ezaidy Mohd Khadar melenyapkan terus kemeriahan Stadium Tuanku Abdul Rahman yang menaruh harapan tinggi terhadap juara bertahan Piala Malaysia 2009 itu.

Gol Johor FC terhasil akibat kesilapan pemain gol Negeri Sembilan iaitu Sani Anuar Kamsani yang keluar terlalu jauh dari pintu golnya menyebabkan Ezaidy membuat rembatan dari tengah padang.

Separuh masa pertama dan kedua banyak melihat pasukan Negeri Sembilan menguasai permainan dan serangan dilancarkan bertubi-tubi ke arah gawang gol Johor FC.

Serangan Negeri Sembilan pada minit 65, 77 dan 79 hampir-hampir meranapkan pertahanan lawan tetapi pasukan Johor FC yang berhadapan dengan tekanan hebat akibat bermain di tempat lawan tidak sesekali memberi peluang kepada musuhnya untuk mencipta jaringan.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan, Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah gagal menggunakan kelebihan bermain di tempat sendiri apabila seri 0-0 dengan Kelantan.

Kedah yang bermain tanpa dua tonggak utama Mohd Khairul Helmi Johari dan Mohd Sabre Mat Abu nyata menunjukkan permainan yang kurang memuaskan dan sekaligus mengecewakan penyokong yang hadir.

Separuh masa pertama menyaksikan pemain Kedah hilang arah apabila Mohd Azmi Muslim terpaksa dikeluarkan pada minit ke 11 akibat mengalami kecederaan.

Kedah yang mula garang pada separuh masa pertama gagal menyempurnakan peluang pada minit ke 16 apabila Badrol Bakhtiar gagal menyempurnakan sepakan di luar kotak penalti dan diselamatkan oleh penjaga gol Kelantan, Khairul Che Mat.

Babak kedua menyaksikan Kelantan mula mengasak kubu Kedah apabila beberapa percubaan menarik Akmal Rizal Rakhli pada minit ke-51, namun gagal disempurnakan dengan baik. - BERNAMA

Artikel Sebelum

WPKL Mara Ke Separuh Akhir

Artikel Lain