suria

Gagal Pecah Rekod Kebangsaan, Norliyana Tetap Puas Hati

MELAKA: Walaupun gagal mencipta rekod baru kebangsaan dalam acara lompat tinggi wanita pada SUKMA Ke-13 di sini hari ini, Norliyana Kamaruddin dari Negeri Sembilan tetap berpuas hati kerana dapat mengatasi rekod peribadinya.

Norliyana, 19, gagal dalam percubaanya untuk membuat lompatan setinggi 1.79m bagi mengatasi rekod kebangsaan 1.78m kepunyaan Shabana Khanum Jalal Din, setelah meraih emas dalam acara tersebut di Stadium Hang Jebat di sini.

Bagaimanapun, gadis dari Jempol itu berjaya memecahkan rekod kejohanan dengan lompatan 1.76m sekaligus memadam rekod 1.75m yang dipegang atlet Selangor Nor Aishah Ismail selama 12 tahun.

"Saya gembira dan macam tak percaya. Walaupun gagal pecah rekod kebangsaan tapi saya puas hati sebab dapat pecah 'personal record' 1.759m yang saya buat masa saya Form Four," katanya.

Dalam acara itu, pingat perak dimenangi Selangor menerusi M.Sandyiani dan gangsa pula menjadi milik Puteri Nur Liyana dari Kedah.

Sementara itu, dalam acara baling tukul besi lelaki, atlet Sarawak Jackie Wong membawa pulang emas setelah beraksi cemerlang dengan balingan sejauh 55.14m, mengatasi rekod kejohanan 46.54m yang dipegang rakan senegerinya Chong Chen Tat.

Perak diraih Ng Chee Chew dari Perak dengan balingan 41.86m manakala gangsa dimenangi Yek Chu Hao dari Sarawak dengan balingan 40.70m.

Bagi acara 5,000m jalan kaki wanita, Song Gie Chee dari Pulau Pinang menjuarai perlumbaan dengan catatan masa 25 minit 43.55 saat.

Dua peserta Kelantan Norliana Md Rusni dan Norrusuhila M.R masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

Acara olahraga bersambung malam ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain