suria

Anak Felda Hulu Belitong Kluang Bawa Pulang Emas Untuk Johor

MELAKA: Anak kelahiran Felda Hulu Belitong, Kluang, Nurul Assikin Mohd Rashid membawa pulang emas untuk Johor setelah menjuarai acara 400m Sukma ke-13 di Stadium Hang Jebat di sini malam ini.

Nurul Assikin, 17, yang baru pertama kali beraksi dalam Sukma, berkata kemenangan itu amat bermakna kerana ia turut disaksikan oleh kedua ibu bapanya yang sanggup datang ke Melaka semata-mata untuk memberi sokongan.

"Mula-mula tu saya rasa takut-takut juga. Tapi saya jadi lebih bersemangat apabila lihat ibu bapa saya datang, cikgu-cikgu pun turun beri 'support'..." katanya kepada Bernama. Pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu berkata selepas Sukma beliau akan menumpukan latihan untuk Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Asean.

"Saya harap saya dapat memperbaiki prestasi pada 'Asean School Games'. Harap dapat buat lebih baik dari ini," katanya.

Sementara itu, Nurul Faizah Asma' Mazlan dan Nur Farahana Musa dari Terengganu meraih pingat perak dan gangsa dalam acara tersebut.

Bagi acara 400m lelaki, atlet Kedah P.Yuvaraaj menggondol emas manakala perak dimenangi Muhammad Idris Zakaria dari Terengganu dan Ahmad Fakri Ismail dari Kelantan membawa pulang gangsa. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain