suria

Raih Pingat Emas Di Sukma, MBSA Janji RM1,000

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjanjikan habuan RM1,000 bagi setiap pingat emas yang berjaya diraih oleh atlet angkatnya yang beraksi di Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Melaka yang akan bermula minggu depan.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mazalan Md Noor berkata habuan itu sebagai dorongan dalam menyokong misi kontinjen Selangor merampas kembali gelaran juara keseluruhan pada temasya sukan dwi tahunan itu.

Beliau berkata MBSA merupakan bapa angkat kepada atlet bagi sukan ragbi, gimnastik, gimrama, renang, terjun, sepak takraw lelaki dan wanita yang merupakan antara harapan utama Selangor untuk memungut pingat emas.

"Kami yakin sekiranya ada kesungguhan dan fokus, Selangor mampu menjadi juara keseluruhan kerana berdasarkan rekod Selangor sudah tujuh kali menggenggam gelaran itu," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada atlet angkat Sukma oleh MBSA di Pusat Akuatik Darul Ehsan di sini hari ini.

Mazalan menyampaikan sumbangan berupa RM200 kepada 114 atlet angkat berserta baju sukan, menjanjikan penyediaan kemudahan pengangkutan untuk ke temasya sukan itu nanti.

Beliau seterusnya berpesan kepada atelet terbabit supaya tidak terlalu yakin serta memandang rendah kemampuan lawan ketika beraksi kerana adat pertandingan, apa sahaja boleh berlaku.

- BERNAMA

Artikel Lain