suria

MIMPI NGERI: Man Utd Mungkin Terpaksa Jual Rooney

MANCHESTER: Akhbar tabloid paling laris Britain, The Sun hari ini melaporkan, The Red Devils mungkin akan melukakan hati berjuta pengikut setianya di seluruh dunia apabila mereka terpaksa menjual Wayne Rooney demi untuk melunaskan hutang yang bertimbun.

"Ia adalah mimpi ngeri kepada semua peminat MU jika ini berlaku dan daripada apa yang kelihatan sekarang, ada kemungkinan ini akan berlaku," kata The Sun.

Amat jelas sekali, The Sun telah membuat analisis tersebut berdasarkan angka yang dikeluarkan oleh Manchester United kelmarin berhubung kedudukan kewangannya yang sangat-sangat menakutkan.

Ia menunjukkan walaupun kelab tersebut membuat keuntungan bersih berjumlah Pound Sterling 48.2 juta tahun lalu tetapi hakikatnya ialah jika tidak kerana wang yang diperolehi daripada penjualan Cristiano Ronaldo kepada Real Madrid pada harga Pound Sterling 80 juta, kelab tersebut sudah pastinya akan mencatat kerugian.

Kata akhbar itu lagi, separuh daripada pendapatan hasil penjualan pemain terbaik dunia itu telah pun habis digunakan untuk membayar hutang yang ditanggung oleh pemegang saham utama Manchester Utd iaitu keluarga Glazer.

Keluarga Glazer terpaksa meminjam Pound Sterling 202 juta daripada bank untuk membeli kepentingan mereka dalam Utd beberapa tahun dahulu dan jumlah itu tidak termasuk pinjaman bernilai Pound Sterling 509 juta yang dipinjam oleh kelab itu sebelum ini.

Akhbar itu berkata, dalam keadaan yang terpaksa, hanya Rooney sahaja yang mampu meraih hasil jualan yang lumayan jika keluarga Glazer tidak mempunyai cara lain untuk melunaskan hutang dan juga faedah mereka kepada bank.

Pada pasaran sekarang kata The Sun, kelab-kelab seperti Barcelona dan Read Madrid bersedia menawarkan jumlah bayaran perpindahan berjumlah Pound Sterling 70 juta ke atas Rooney.

Dan untuk tempoh pintu jualan yang dibuka sepanjang bulan Januari ini, Sir Alex Ferguson tidak dibekalkan dengan sebarang peruntukkan untuk membuat pembelian tambahan sedangkan kelab-kelab yang lain sibuk membuat pembelian dan perpindahan.

Akhbar itu berkata, adalah tidak pasti bagaimanakah Manchester Utd akan memberikan reaksi atau alasan jika mereka terpaksa menjual Rooney selepas kehilangan Ronaldo dan Carlos Tevez musim lalu.

Artikel Lain