suria

Persatuan sukan perlu tubuh kelab penyokong - Razali

GENTING HIGHLANDS: Kementerian Belia dan Sukan (KBs) mencadangkan agar semua 50 persatuan sukan di negara ini segera berusaha untuk mewujudkan kelab penyokong sendiri.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Razali Ibrahim berkata mereka perlu segera mencari pendekatan yang sesuai untuk menubuhkan kelab tersebut bagi menyemarakkan lagi sokongan rakyat terhadap aktiviti sukan negara.

"Diharapkan apabila setiap persatuan sukan mempunyai kelab penyokongnya sendiri atlet negara tidak lagi dibiarkan kesunyian sebaliknya mereka mempunyai peminat untuk memberi semangat ketika beraksi pada sesuatu kejohanan dan kejayaan dapat dikongsi secara bersama," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengurusan Sukan Peringkat Kebangsaan dekat sini hari ini.

Razali turut memberi cadangan agar persatuan sukan dan pihak pengurusan prasarana sukan di negara ini mempergiatkan usaha melatih seramai mungkin sukarelawan.

"Sukarelawan amat penting dalam membantu pihak penganjur menganjurkan sesuatu kejohanan dan kebajikan mereka (sukarelawan) harus diberi perhatian oleh pihak persatuan.

"Mereka tidak seharusnya dibiarkan sahaja selepas tamat sesuatu kejohanan kerana pengalaman mereka dalam mengendalikan sesuatu acara sukan diperlukan untuk kejohanan yang berikutnya," katanya.

Razali berkata bagi menarik lebih ramai masyarakat khususnya generasi belia menjadi sukarelawan pihak persatuan perlu memikirkan sesuatu ganjaran yang boleh menarik minat golongan itu menyertai sukarelawan.

Beliau berkata bagi pihak pengurusaan prasarana sukan pula, mereka boleh menjadikan sukarelawan sebagai 'duta kecil' bagi memberi penerangan kepada pelawat tentang maklumat bangunan dan juga kejohanan penting yang pernah berlangsung di tempat mereka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain