suria

Kontinjen paralimpik negara sasar 14 pingat emas di Tokyo

KUALA LUMPUR: Kontinjen Paralimpik Malaysia menyasarkan acara renang dan olahraga sebagai 'lubuk emas' dalam pemburuan pingat temasya Sukan Para Remaja Asia Kedua di Tokyo, Jepun pada awal September depan.

Ketua kontinjen Malaysia Bong Muk Shin berkata walaupun hanya 14 pingat emas disasarkan untuk edisi kali ini, ia dilihat lebih realistik kerana persaingan pada kali ini lebih hebat berbanding edisi pertama di Hong Kong, pada 2002.

"Persaingan edisi kali ini dilihat lebih mencabar kerana 37 buah negara Asia akan mengambil bahagian berbanding hanya sembilan negara pada edisi pertama di Hong Kong," katanya kepada Bernama selepas mempengerusikan mesyuarat persediaan atlet Malaysia ke Sukan Para Remaja Asia di Tokyo, Jepun.

Bong berkata 42 atlet dan 39 pegawai dipilih untuk menyertai sukan dwitahunan itu.

"Kita akan mengambil bahagian dalam empat daripada lima acara yang dipertandingkan iaitu boccia (menyerupai sukan boling padang), goalball, renang dan olahraga.

Malaysia tidak menyertai acara pingpong," katanya.

Beliau berkata atlet paralimpik negara bersedia untuk menghadapi cabaran di Tokyo kerana mereka telah memulakan latihan separuh masa di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) sejak awal Jun lagi.

"MSN memberi sumbangan penuh kepada atlet paralimpik dan diharap atlet kita mampu buktikan sesuatu di Tokyo nanti," katanya.

Ketika di Hong Kong, Malaysia berjaya membawa pulang 35 pingat emas yang dikutip menerusi acara renang dan olahraga.

Mengulas mengenai larangan pelajar sekolah ke luar negara yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran sebagai langkah pencegahan penularan wabak influeza A(H1N1),Bong berkata memandangkan kes H1N1 kini semakin menurun maka tidak ada masalah untuk menghantar atlet di bawah umur 18 tahun mengikuti kejohanan di luar negara.

Bong yang juga pengarah pendidikan khas, Kementerian Pelajaran berkata 33 atlet dari Sekolah Pendidikan Khas akan mengambil bahagian dalam temasya tersebut.

"Sebagai langkah awal hanya atlet yang disahkan sihat oleh pakar perubatan sahaja dibenarkan mengikuti kejohanan tersebut dan pasukan perubatan dari Institut Sukan Negara akan turut sama ke Tokyo bagi memantau kesihatan atlet," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain