suria

Memanah: Chu Sian sekali lagi perbaiki rekod kebangsaan

KUALA LUMPUR: Pemanah negara Cheng Chu Sian sekali lagi mengatasi rekod kebangsaan dengan mengumpul 1,336 mata dalam acara Recurve individu pada pusingan kelayakan Kejohanan Memanah Grand Prix Asia Ketiga di Kompleks Sukan Keramat, di sini, semalam.

Chu Sian berkata beliau masih tidak berpuas hati dengan mutu persembahannya hari ini walaupun berjaya mengatasi rekod yang diciptanya empat bulan lepas dengan kutipan 1,329 mata pada Kejohanan Piala Dunia Kedua di Croatia.

"Kutipan mata keseluruhan dalam empat disiplin yang saya pungut hari ini jauh lebih rendah daripada mata yang saya pungut ketika latihan," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau akan cuba melakukan yang terbaik untuk pusingan kalah mati bagi meraih pingat emas acara tersebut.

Selain Chu Sian, tiga lagi pemanah negara berjaya melangkah ke pusingan kalah mati iaitu Wan Mohd Khalmizam Abdul Aziz, Nazrin Aizat Mat Nasir dan Mohd Izzuddin Abdul Rahim.

Bagaimanapun, hanya Mohd Izzuddin yang akan bertemu dengan pemanah Arab Saudi, Mohammah Omar AlAbdul Muhsin, pada peringkat pertama pusingan penyingkiran, sementara tiga lagi pemanah mendapat 'bye' untuk mara ke pusingan yang berikutnya.

Sementara itu, dalam acara recurve wanita pula, kesemua enam pemanah negara berjaya mara ke pusingan berikutnya.

Pada pusingan kalah mati pertama esok, hanya Fepriyenita Anuar akan menentukan peluangnya ketika bertemu pemanah Iraq, Rand Saad, manakala Noor Aziera Taib, Irza Hanie Abu Samah, S. Anbarasi, Nur Amirah Mohamed dan Beatric Wong Zhia mendapat 'bye' untuk mara kepusingan yang berikutnya.

Bagi acara compound individu lelaki pula, Lang Hon Keong dan Frenkie Ting mendapat 'bye' untuk mara ke pusingan berikutnya.

Bagi acara compound wanita pula, Shaila Lazim, Sarita Cham Nong, Nurhidayah Abdul Latip, Siti Aisyah Sudin dan Fatin Norfatehah Mat Salleh turut mendapat 'bye'. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain