suria

KBS tunggu laporan PSM kenal pasti aksi hambar skuad takraw negara

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mahu Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) membuat penjelasan segera berhubung aksi hambar dan memalukan skuad negara ketika beraksi pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Raja Thai yang berlangsung di Bangkok pada 6 Julai lepas.

Katanya beliau kini turut menunggu laporan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi mengenal pasti punca kegagalan sebenar skuad takraw negara membawa pulang pingat dari kejohanan itu.

"Saya rasa dukacita dengan kegagalan tersebut kerana sukan sepak takraw berasal dari Malaysia dan kita tidak sepatutnya tewas dengan negara seperti Korea Selatan," katanya kepada pemberita ketika membuat tinjauan Kejohanan Memanah Grand Prix Asia ketiga yang berlangsung di Kompleks Sukan Keramat, di sini semalam.

"Perkara ini perlu diselesaikan segera kerana kita tidak ingin melihat mereka terus gagal," katanya. Keupayaan skuad takraw negara mula dipertikaikan apabila mereka tewas ketika berdepan dengan skuad takraw dari Indonesia pada Kejohanan Piala Dunia di Terengganu bulan lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain