suria

Ananda nafi hasrat beli kelab Newcastle United

KUALA LUMPUR: Taikun media dan telekomunikasi Malaysia, Tan Sri T. Ananda Krishnan, semalam menafikan laporan media baru-baru ini bahawa beliau atau syarikat miliknya telah melahirkan hasrat untuk membeli kelab bola sepak England, Newcastle United.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat persendirian miliknya, Usaha Tegas Sdn Bhd, menyatakan bahawa tidak ada kebenaran atau asas dalam laporan media berkenaan pembelian tersebut.

"Laporan akhbar bertarikh 5 dan 6 Julai di Malaysia dan Singapura menyebut Ananda atau syarikat miliknya berminat membeli Newcastle United dan wakilnya mengadakan perbincangan untuk mencari jalan atau telah menyelesaikan urusan seperti itu.

"Pada hakikatnya, tidak ada kebenaran atau asas kepada berita seperti itu dan tidak mempertimbangkan sebarang urusan pembelian seperti itu," menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, media Britain melaporkan bahawa sebuah konsortium Malaysia yang diterajui oleh beberapa ahli perniagaan terkenal telah menawarkan 80 juta pound (RM456 juta) untuk membeli kelab "The Magpies" itu dari pemiliknya Mike Ashley dengan tertakluk kepada syarat tidak mendedahkan butiran perjanjian.

Pada Jumaat lepas, akhbar 'The Sun UK' melaporkan bahawa Ananda, 71, besar kemungkinan menjadi pemilik baru kelab tersebut.

Akhbar itu menyebut urusan pembelian itu boleh dipersetujui dengan harga 95 juta pound (RM547 juta), iaitu 40 juta pound (RM230.3 juta) lebih rendah daripada harga asalnya, 135 juta pound (RM752) ketika ia dibeli oleh Ashley pada 2007. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain